Dr Harry bersama rakan pengamal perubatan SP Care Group membuat laporan polis ke atas ancaman keselamatan dari seorang individu dari Puchong di Menara SP Care di Rawang hari ini.

KUALA LUMPUR – Kumpulan pegawai perubatan Klinik SP Care telah membuat satu laporan polis terhadap seorang ahli politik yang didakwa membuat ugutan mengancam keselamatan  mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif SP Care Group, Dr. Harry Dinesh Mahalingam berkata, pihaknya menerima ugutan itu menerusi video tular daripada individu itu yang juga dipercayai bekas ketua cabang sebuah parti Puchong pada 29 Mei lalu.

“Di penghujung rakaman berdurasi dua minit sembilan saat itu bermula dari minit ke 1.34 saat, individu itu didapati telah melemparkan ugutan ke atas salah seorang kami, Dr. Sathia Prakash Nadarajan dan juga klinik kesihatan di bawah penyeliaan kami.

“Dalam ugutan itu berbunyi”..Dr.Sathia Prakash kamu adalah budak baru melangkah dalam dunia politik dan kamu menguruskan perniagaan klinik perubatan dan kesihatan.

“Maka adalah lebih baik jaga urusan kamu sendiri dan kelakuan kamu. Kalau kamu sibuk menyelit hidung dan mencampuri urusan yang tiada kena mengena dengan kamu sewenang-wenangnya serta ‘korek’ dalam politik, maka segala urusan klinik perubatan kamu akan dilanda masalah dan kamu juga akan terperangkap (terima tempias).

“Ingat, politik ini bukannya kamu boleh main sesuka hati jangan ‘bermain’ dengan saya”.

Dr. Harry juga terkilan dan keliru dengan tindakan individu tidak dikenali itu serta secara tiba-tiba klinik kesihatan di bawah penyeliaannya dibangkitkan dan diugut sedemikian rupa.

Dr.Harry (dua dari kanan) bersama Dr. Uvarani (tiga dari kanan) dalam sidang media mengenai laporan polis ke atas ancaman ugutan jenayah yang diterima menerusi video Tiktok tular di media sosial di Menara SP Care Group Rawang petang hari ini.

Beliau memandang serius ugutan jenayah yang dilemparkan oleh individu tidak bertanggungjawab itu yang berniat jahat dan merbahaya.

Beliau telah merujuk isu itu kepada perhatian penasihat undang-undang syarikat dan bertindak atas nasihat peguam SP Care, laporan polis telah dibuat pihaknya yang terdiri daripada lebih lapan doktor perubatan SP Care Group.

Malah pihaknya turut sebagai mendesak polis melakukan satu siasatan segera ke atas individu itu dan tindakan tegas berlunaskan undang-undang.

“Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Kuala Kubu Baharu sekitar 3.30 petang tadi dan pegawai penyiasat telah memanggil dan merakam keterangan kami dan segala maklumat beserta bahan bukti termasuk rakaman video tular itu sudah diserahkan untuk membantu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi doktor perubatan kanan di klinik SP Care Group itu, Dr. Uvarani Veerasamy turut menyatakan kebimbangan rentetan daripada ancaman video ugutan yang mengejut itu.

“Semalam salah seorang pesakit kami menunjukkan video tular berbaur ugutan jenayah itu kepada saya dan saya amat terkejut.

“Pesakit saya mula tertanya kenapa ada ancaman sedemikan secara tiba-tiba daripada seorang individu sebegitu sekaligus mula menyatakan kerisauan mengenai keselamatan mereka.

“Untuk makluman, bukan sahaja pesakit, kami juga risau akan mengenai keselamatan lebih 300 orang yang terdiri daripada pegamal perubatan, jururawat, pembantu jururawat, radiografer, serta para kakitangan sokongan rentetan daripada video ugutan itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast