subsidies chicken price feed farm
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memaklumkan pihaknya telah mempermudahkan prosedur permohonan bagi mempercepatkan pembayaran subsidi kepada penternak ayam.- Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Penasihat Kehormat Persatuan Penternak Ayam Selangor, Datuk Ishak Mat Arif mengakui peningkatan kos operasi penternak ayam menjadi punca kenaikan harga bahan mentah itu.

Selain itu, beliau juga mendakwa penawaran melebihi daripada permintaan turut menjadi faktor harga ayam naik ketika ini.

Jelas Ishak, penternak juga berdepan situasi kekurangan bekalan susulan banyak ayam mati kerana dijangkiti virus Newcastle Disease (ND) atau penyakit sampar ayam.

“Banyak perkara penternak perlu tanggung ia termasuk makanan atau dedak ayam yang kini kian mahal sekali gus menyebabkan berlaku peningkatan kos operasi kepada mereka.

“Bagaimanapun, ayam masih merupakan satu industri protein yang murah dalam negara berbanding ikan.

“Harga ayam kini lingkungan RM9 hingga RM10 sudah dipertikai berbanding harga  ikan yang jauh lebih mahal iaitu RM15 hingga RM30,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika diminta mengulas mengenai isu peningkatan harga ayam pada masa ini.

Tambah Ishak, kekurangan tenaga pekerja kini turut menjadi isu dalam kalangan penternak.

“Rakyat tempatan tidak mahu bekerja dalam sektor penternak menyebabkan tenaga buruh asing diperlukan dan pengambilan pekerja asing turut menelan kos tinggi.

“Banyak kekangan yang perlu dihadapi oleh penternak, ini belum mengambil kira cukai yang perlu dibayar jadi kita harap orang ramai jangan cepat melatah dengan kenaikan harga ayam,” jelas beliau.

Mengulas lanjut Ishak berkata, kerajaan harus melindungi penternak berbanding mengambil keputusan untuk mengimport bahan mentah terbabit.

“Tindakan kerajaan mahu mengimport bahan mentah itu merupakan jalan penyelesaian (jangka) pendek.

“Saya tidak setuju dengan cara import kerana ia cuma penyelesaian jangka pendek yang akan menyebabkan penternak gulung tikar dan lama kelamaan penternak semakin kurang dan akhirnya mungkin satu hari nanti kita kekurangan sumber makanan negara,” kata Ishak.

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan peniaga dan pengedar ayam di Pulau Pinang mendakwa kenaikan harga bahan mentah itu berlaku akibat di pasarannya di monopoli pengilang.

Selain itu, mereka turut mendakwa penternak memberi alasan kenaikan harga dedak serta ayam mudah mati antara faktor lain kenaikan harga ayam ketika ini. – MalaysiaGazette