Siti Zailah Mohd Yusoff KPWKM unnatural sex women family children rape incest
Siti Zailah Mohd Yusoff

KUALA LUMPUR – Draf Rang Undang-Undang Anti-Gangguan Seksual (RUU AGS) telah digubal secara kolektif melalui sebuah pasukan projek khas.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, pasukan projek khas itu disertai pelbagai pihak melibatkan wakil kementerian dan agensi yang berkaitan, badan bukan kerajaan (NGO) serta ahli akademik.

Menurut beliau, kementerian telah menyasarkan pembentangan RUU berkenaan bagi bacaan kali pertama semasa Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat yang akan bersidang ini tertakluk kepada kelulusan daripada Jabatan Peguam Negara dan persetujuan Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Kerajaan melalui kementerian sentiasa komited dalam usaha mewujudkan persekitaran yang selamat dan bebas gangguan seksual untuk seluruh rakyat, khususnya golongan wanita.

“Manakala semakan RUU adalah satu proses yang perlu dilakukan dengan teliti bagi memastikan ia benar-benar mampu menangani kelompangan perundangan sedia ada dan isu pelaksanaan yang akan timbul,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawan soalan Ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual yang meminta kementerian itu menyatakan komitmen kerajaan dalam memperkenalkan Akta Gangguan Seksual dan garis masa akta tersebut akan dibentangkan.

Jelas Siti zailah, pada masa ini, kes gangguan seksual ditangani melalui akta dan peraturan lain seperti Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Kerja 1995 (Akta 265), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Ia juga turut ditangani melalui Peraturan 4A, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U (A) 395/1993] dan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2018 iaitu Garis Panduan Pengendalian Kes Gangguan Seksual di Tempat Kerja Dalam Perkhidmatan Awam.

Katanya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga sedang membangunkan Modul Intervensi Gangguan Seksual Di Tempat Kerja untuk kegunaan Pegawai Psikologi atau Kaunselor Organisasi dalam mengendalikan kes gangguan seksual di tempat kerja.

Pada masa sama, jelas beliau, kementerian itu terutama melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) giat mengadakan program untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai gangguan seksual supaya dapat mengelakkan perlakuan tersebut daripada terus berleluasa sama ada secara fizikal, visual ataupun lain-lain bentuk.

Katanya, sepanjang enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 53 program kesedaran telah dilaksanakan oleh JPW dengan penglibatan seramai 11,367 peserta di seluruh negeri. – MalaysiaGazette