KUALA LUMPUR – Penstrukturan semula AirAsia X (AAX) tidak menjejaskan para penumpang, kata syarikat penerbangan itu.

Ini kerana penumpang akan ditawarkan keistimewaan perjalanan dalam bentuk kredit yang boleh digunakan untuk pembelian tiket penerbangan pada masa hadapan sebaik sahaja sempadan antarabangsa dibuka semula, selain nilai hutang sebanyak 0.5% dan kelayakan berasaskan tunai lain berdasarkan prestasi hasil tahunan selama tiga tahun seperti yang dinyatakan dalam Penyata Penjelasan.

Penyata itu telah dihantar kepada semua pemiutang baru-baru ini.

Syarikat itu berkata, kelayakan dan kredit perjalanan ini hanya boleh berlaku jika AAX berjaya dalam penstrukturan semula mengikut syarat-syarat Skim tersebut.

Jika syarat-syarat Skim tersebut tidak dipatuhi dan gagal dilaksanakan, AAX akan dibubarkan dan para pengguna tidak akan menerima sebarang kelayakan dan AAX memilih untuk tidak meletakkan mereka dalam situasi ini.

Menurutnya, dasar AAX adalah selaras dengan pengendali industri pelancongan di seluruh dunia dan mematuhi sepenuhnya semua keperluan kawal selia di setiap negara yang kami beroperasi.

”Keutamaan kami adalah untuk penstrukturan semula dan permodalan semula AAX secara menyeluruh supaya ia boleh kembali beroperasi sebagai salah satu pengendali penerbangan tambang murah jarak sederhana terkemuka di dunia.

”Justeru, fokus kepada pengumpulan modal baharu adalah penting kerana AAX tidak menerima sebarang sokongan kewangan daripada mana-mana pihak luar semasa pandemik ini atau pada bila-bila masa sebelum ini.

”Oleh itu, syarikat penerbangan ini harus membina semula platform yang kukuh untuk masa depan yang mampan dan berdaya maju supaya pelabur baharu akan bersedia untuk menyuntik modal baharu,” katanya dalam kenyataan di sini.

AAX berkata, pemiutang syarikat itu terdiri daripada pemiutang yang besar, mengundi dengan hampir sebulat suara pada 12 November bagi memberinya peluang untuk terus beroperasi dan pulih dengan lebih kukuh demi kepentingan terbaik untuk mereka.

Begitu juga demi kepentingan terbaik para pengguna untuk membenarkan kami terbang semula supaya syarikat ini boleh kembali menawarkan kredit perjalanan mereka.

”Secara ringkas, satu-satunya pilihan yang ada selain penstrukturan semula ini adalah penutupan syarikat yang merupakan kerugian bagi semua, tanpa sebarang peluang untuk mendapatkan semula sebarang hutang mereka sekiranya kami tidak berjaya dalam penstrukturan semula ini,” ujar AAX lagi.

Syarikat itu turut ambil maklum banyak laporan mengenai klasifikasi pengguna sebagai pemiutang.

Dalam penyata kewangan, selain menjadi pemegang saham, hanya terdapat dua kategori lain iaitu mereka adalah penghutang jika mereka berhutang kepada syarikat atau pemiutang jika syarikat berhutang kepada mereka.

“Adalah jelas bahawa syarikat ini berhutang kepada para pengguna yang mempunyai jumlah tertunggak yang terhutang kepada mereka. Justeru, mereka diklasifikasikan sebagai pemiutang,” tambah AAX. – MalaysiaGazette