KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) , Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menerima kiriman bunga dan makanan segera, McDonald’s daripda pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkongsi hadiah itu di Facebook miliknya sebentar tadi.

Sambil mengucap terima kasih, Sanusi tidak sabar untuk melihat aksi kedua suku akhir Piala Malaysia pada Khamis ini selepas terikat 0-0 di Stadium Darul Aman semalam.

“Menjunjung Kasih TMJ HRH Crown Prince of Johor atas kiriman bunga dan McD… hari khamis ni kita berentap lagi, kalah, seri atau menang adalah adat perlawanan.. kasi panas line tu wajib laaa,” tulisnya.

Semalam, Sanusi Md Nor tampil membalas kritikan yang dilontarkan Tunku Ismail mengenai isu tunggakan gaji pasukannya.

Mendapat kritikan itu ‘kepala pistol oleh Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), Sanusi menjawab kritikan itu hanya sekadar peluru kapur.

“La ni bulan sebelaih [11] dah. Bulan satu sampai bulan sepuluh kena lawan JDT tiap-tiap bulan kaaa??? Apa punya peluru kapoq tala ikut suka dia,” kata di laman Facebook miliknya di sini hari ini.

Masalah tunggakan gaji ini nyata memberi kesan terhadap prestasi Kedah Darul Aman (KDA ) FC dalam saingan Piala Malaysia musim ini selepas mereka menamatkan saingan peringkat kumpulan C di tangga kedua sekaligus bertemu dengan juara kumpulan D iaitu JDT.

Namun Kedah dilaporkan telah menyelesaikan tunggakan gaji pemain selama dua bulan semalam sebelum turun beraksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat suku akhir Piala Malaysia 2021 malam ini.

Perkara ini mendapat perhatian TMJ apabila beliau menegur sikap pengurusan pasukan Kedah yang hanya mahu melunaskan tunggakan gaji pemain sebelum berdepan JDT.

“Bila nak lawan JDT sahaja ke baru nak bayar gaji? Sampai bila nak perangai macam ni? Kepala pistol,” tulis TMJ. – MalaysiaGazette