Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR  – Seorang anggota polis yang disyaki menerima sejumlah wang sebagai dorongan melepaskan seorang warga Palestin yang tidak memiliki pasport semasa sekatan jalan raya (SJR) ditahan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, suspek merupakan seorang anggota polis lelaki berumur 22 tahun dan bertugas sebagai anggota tugas-tugas am di Balai Polis Gombak.

“Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan pemerasan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua dari hukuman , jika disabitkan kesalahannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum itu, polis menyiasat penularan satu akaun Twitter yang berkongsi tentang salah laku anggota polis semasa SJR.

Zainal Mohamed mengesahkan pada 15 November lalu pihaknya terima satu laporan polis daripada mangsa iaitu seorang lelaki warganegara Palestin yang merupakan pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 9 November lalu pukul lebih kurang 10.40 pagi semasa mangsa bersama bapanya dalam perjalanan ke UIA (Universiti Islam Antarabangsa)  Gombak ditahan oleh anggota polis di SJR di hadapan Sekolah Kebangsaan Gombak Utara, Batu 7, Jalan Gombak.

“Pemeriksaan lanjut oleh salah seorang anggota polis bertugas mendapati bapa mangsa tidak membawa pasport dan hanya menunjukkan gambar pasport di dalam telefon bimbit.

“Anggota polis itu dikatakan telah menerima sejumlah wang bagi melepaskan bapa mangsa daripada mengambil tindakan atas kegagalan menunjukkan passport yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau dalam perkembangan terkini kes berkenaan, siasatan telah dijalankan oleh pihak polis dan tangkapan juga telah dibuat dalam insiden ini.

Sekiranya terdapat maklumat tambahan dari orang awam boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Fildza  Che Ibrahim di talian nombor 03-61262222 atau 016-9537372.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Polis siasat dakwaan anggotanya minta wang dari warga Palestin