Polis Gombak dalam usaha mengesan pemilik akaun yang menggunakan nama NURATIKAHROSE dan mangsa yang dipercayai seorang warganegara Palestin bagi membantu siasatan rakaman suara viral salah laku polis di sekatan jalanraya di Jalan Gombak Lama.

KUALA LUMPUR – Polis telah merakam keterangan beberapa orang anggotanya yang bertugas semasa Sekatan Jalan Raya (SJR) di Gombak pada masa dakwaan berlaku salah laku terhadap beberapa warga Palestin.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed berkata, pada 10 November lalu, pihaknya telah menerima penularan hantaran satu akaun Twitter yang berkongsi tentang salah laku anggota polis.

“Pemilik akaun bernama Nuratikahrose telah memuat naik beberapa rakaman suara rakannya dipercayai seorang warganegara Palestin semasa ditahan oleh pihak polis di satu Sekatan Jalanraya di kawasan Batu 7, Jalan Gombak Lama.

“Mangsa telah ditahan oleh anggota polis dalam SJR tersebut dan semasa pemeriksaan dibuat dikatakan salah seorang anggota bertugas telah meminta wang atas kesalahan gagal menunjukkan dokumen diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Zainal Mohamed, berikutan kejadian itu pihak polis telah merakam keterangan beberapa orang anggota yang bertugas semasa satu SJR.

Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti anggota yang terlibat dalam rakaman suara yang telah tular dalam Twitter milik Nuratikahrose.

Sehubungan dengan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Mejar Abdul Aziz b.Sulaiman di talian 03-61262222/ 016-7185750,” tegasnya.-MalaysiaGazette