Mohd Ridzuan

GEORGE TOWN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang menafikan dakwaan pihaknya mengawal harga ayam mentah dengan menetapkan harga kawalan kepada peniaga ayam negeri ini.

Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, pihaknya tidak menetapkan sebarang harga kawalan sebaliknya melakukan rundingan bersama peniaga bagi mendapatkan situasi menang-menang.

“Pihak kami sentiasa menjalankan pemeriksaan ke atas penternak, pemborong serta peniaga untuk mendapatkan maklumat harga rantaian ayam supaya bekalan ayam mentah dan harga ayam dijual pada kadar yang munasabah kepada pengguna.

“Justeru itu, harga RM9.50 sekilogram bukan ditetapkan oleh kami sebaliknya ia diputuskan selepas rundingan bersama dibuat dengan pembekal rantaian peniaga ayam bagi memastikan tiada pihak terbeban termasuk pengguna,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan beberapa peniaga ayam di negeri ini mendakwa mereka tidak dibenarkan menjual ayam lebih daripada RM9.50 sekilogram.

Peniaga pasar awam itu mendakwa sebelum ini mereka menjual ayam pada harga RM9.80 sekilo namun penguatkuasa KPDNHEP negeri yang membuat pemantauan meminta mereka mengemukakan pelbagai dokumen sebagai tunjuk sebab kenaikan harga ayam tersebut. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Harga ayam di Pulau Pinang cecah RM9.50 sekilo