Dominic Lau Hoe Chai. Foto MOHD ADZLAN, 16 NOVEMBER 2021.

MELAKA – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) optimis dapat menyapu bersih semua kerusi yang ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menerusi Perikatan Nasional (PN) pada 20 November ini.

Bagaimanapun, pada tahap ini ia perlu diusahakan dengan bersungguh-sungguh selain bekerja keras dan jentera parti perlu memainkan peranan sebaik mungkin tanpa alpa, kata Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Menurut Dominic, sebagai presiden beliau perlu meletakkan keyakinan itu namun ia harus mendapat sokongan daripada pengundi-pengundi di Melaka.

“Memang sebagai Presiden Parti Gerakan saya ada confidence (keyakinan) boleh menang. Tetapi seperti yang katakan pada tahap ini semua kita mesti bertungkus lumus untuk dapatkan sokongan daripada pengundi, ini adalah penting daripada kita hanya memikirkan menang dan kalah.

“Marilah kita berusaha untuk menjaga rakyat dan menyampaikan mesej positif, yang betul dan benar kepada rakyat dan saya berharap pengundi Melaka boleh sokong Perikatan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi walkabout di Bandar Hilir, di sini, bersama Pengarah Pilihan Raya (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan calon PN Bandar Hilir, Clarice Chan Ming Wang.

Dalam pada itu Dominic berkata, agak sukar untuk berkempen dalam norma baharu tetapi menerusi media sosial kempen-kempen dilakukan secara agresif termasuk mengadakan debat dengan parti lawan secara sihat.

“Ini yang saya katakan kempen yang bersih perlu kita beri galakan untuk diteruskan,” tambahnya.

Gerakan mempertaruhkan lima calon pada PRN Melaka iaitu B. Dhanesh yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Michael Gan Peng Lam (Ayer Keroh); Clarice Chan Ming Wang (Bandar Hilir), Fong Khai Ling (Kota Laksamana) dan Patrick Ng Chin Kae (Kesidang). – MalaysiaGazette