KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memilih juadah tempatan walaupun dijamu dengan makanan segera popular dari Barat.

Menu itu dipilih menerusi perkongsian Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah di akaun Facebook hari ini.

Muhammad Sanusi memilih menu cucur pisang dan ikan bilis kucai yang lebih membuka seleranya.

“Coqkodok pisang dan coqbilih kucai tetap menjadi pilihan walaupun ada setambun McD di depan.

“Selera bahan tempatan yang segar tak mungkin dapat direntap burger dan ayam daging hidangan mat saleh hidung merah berkasut besar,” tulisnya.

Semalam, Sanusi menerima ‘hadiah’ daripada Tunku Makhota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) berupa kiriman bunga dan juga makanan segera McDonalds.

“Menjunjung Kasih TMJ HRH Crown Prince of Johor atas kiriman bunga dan McD..hari khamis ni kita berentap lagi.

“Kalah, seri atau menang adalah adat perlawanan..kasi panas line tu wajib laaa,” katanya.

Tunku Ismail dan Sanusi masing-masing ‘berperang’ menerusi laman media sosial bermula daripada sebelum aksi suku akhir pertama Kedah menentang JDT di Stadium Darul Aman Ahad lalu. – MalaysiaGazette