Penggunaan katil bagi kes kritikal di seluruh negara semalam menunjukkan bawah 50 peratus.

KUALA LUMPUR – Kadar penggunaan katil di hospital bagi pesakit Covid-19 meningkat sebanyak tujuh peratus dalam tempoh tujuh hari lalu, lapor laman sesawang COVIDNOW.

Data yang dikongsikan itu menunjukkan kadar penggunaan katil bagi pesakit Covid-19 sehingga tengah malam tadi ialah 68 peratus.

Kuala Lumpur menunjukkan trend peningkatan tertinggi bagi tempoh tujuh hari lalu iaitu 87 peratus, diikuti Melaka 80 peratus, Negeri Sembilan (39 peratus), Perak dan Kedah masing-masing 18 peratus.

Lembah Klang dan Putrajaya masing-masing pula mencatatkan trend peningkatan penggunaan katil bagi pesakit COVID-19 sebanyak 17 peratus, Johor (11 peratus), Selangor (10 peratus) dan Terengganu lima peratus.

Labuan, Sarawak, Pahang dan Kelantan tidak menunjukkan trend peningkatan kadar penggunaan katil bagi tempoh tujuh hari lalu.

Pada masa sama, Terengganu menunjukkan penggunaan katil hospital tertinggi setakat tengah malam tadi pada kadar 92 peratus, diikuti Kelantan pada 86 peratus; Melaka (83 peratus); Kedah (81 peratus); Negeri Sembilan (76 peratus); Johor (75 peratus); Selangor (73 peratus); Labuan (72 peratus); Pahang dan Perlis masing-masing dengan 68 peratus; Sarawak (67 peratus); Sabah (60 peratus); Pulau Pinang (56 peratus); Perak (52 peratus); Kuala Lumpur (49 peratus) dan Putrajaya (48 peratus).

Selangor mencatatkan penggunaan sehingga 82.8 peratus, disusuli Putrajaya 80 peratus; Kuala Lumpur (79.6 peratus); Kelantan (74.1 peratus); Terengganu (66.7 peratus) dan Pulau Pinang dan Perak masing-masing 65.6 peratus.
Ia disusuli Negeri Sembilan (63.2 peratus); Melaka (62 peratus); Sarawak (61.2 peratus); Johor (54.4 peratus); Sabah (52.7 peratus); Pahang (52.5 peratus); Perlis (47.4 peratus); Kedah (42.5 peratus) dan Labuan 33.3 peratus.

Ketika ini, penggunaan alat bantuan pernafasan negara adalah 38.9 peratus, namun lima negeri menunjukkan penggunaan 50 peratus ke atas iaitu Pahang dengan 51.7 peratus; Sarawak 51.2 peratus; Kelantan dan Perak masing-masing 50.7 peratus dan Terengganu 50 peratus, manakala penggunaan terendah adalah di Labuan dengan 6.7 peratus.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dalam ciapannya melalui akaun Twitter, berkata kemasukan ke hospital dikemaskini di laman sesawang COVIDNOW setiap hari.

Beliau berkata, semua data ada di situ untuk pengawasan orang ramai dan mereka membuat keputusan yang berlandaskan maklumat.

“Terus memakai pelitup dengan betul, elakkan kawasan sesak #TRIIS dan dapatkan dos penggalak apabila ia ditawarkan kepada anda,” katanya. – MalaysiaGazette