Allahyarham Kapten Mohamed Afendi Bustamy disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Muadzam Shah.

ROMPIN – Jenazah Allahyarham Kapten Mohamed Afendi Bustamy selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Muadzam Shah pada jam 9 malam tadi.

Allahyarham merupakan Juruterbang Tentera udara Diraja Malaysia (TUDM) meninggal dunia selepas pesawat Hawk yang dipandunya terhempas di landasan pangkalan udara Butterworth pukul 10.07 malam tadi.

Majlis pengkebumian jenazah juruterbang disempurnakan mengikut istiadat ketenteraan  oleh sembilan pegawai diketuai Mejar Aizam Shaari.

Jenazah Allahyarham Kapten Mohamed Afendi Bustamy tiba di kediaman keluarganya di Taman Redan Perdana, Bandar Muadzam.

Jenazah Allahyarham Mohamed Afendi, 31, telah diterbangkan oleh pesawat TUDM kira-kira jam 4.10 petang tadi dengan menggunakan pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia dari pangkalan udara Butterworth dan tiba di pangkalan udara Kuantan pada pukul 5.10 petang.

Kemudian jenazah dibawa menaiki van sambil diiringi oleh isterinya, Nurul ‘Ezzary Shaari, ayah, keluarga mentua untuk dibawa ke rumah keluarganya di Taman Redan Perdana, di Bandar Muadzam.

Seterusnya, jenazah dibawa ke Masjid Muadzam Shah di sini untuk disolatkan pada pukul 7.15 malam.

Sejurus selepas solat, jenazah Allahyarham dibawa ke tanah perkuburan pada pukul 8 malam dan selesai dikebumikan kira-kira sejam kemudian dalam keadaan hujan renyai.

Suasana pilu menyelubungi ahli keluarga Allahyarham terutama isteri Allahyarham yang kelihatan cukup hiba dan mengalirkan air mata sepanjang proses pengebumian berlangsung.

Arwah merupakan anak kedua daripada empat adik- beradik.

Ketika nahas itu berlaku, Mohamed Afendi dan rakannya, Mejar Mohd Fareez Omar sedang melakukan latihan penerbangan malam.

Mohd Fareez yang terselamat dalam insiden itu kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan dilaporkan stabil. – MalaysiaGazette