Kelibat seorang wanita pendatang asing tanpa izin (PATI) wanita warga Indonesia yang memecut laju bersama rakan yang mendukung anak kecilnya berjaya ditahan anggota Jabatan Imigresen Wilayah Perseketuan Kuala Lumpur dalam satu operasi penguatkuasaan di rumah kedai Jalan Sultan Sulaiman 1, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Dua wanita warga Indonesia bertindak berani lari seperti atlet 100 meter di mana salah seorangnya mengendong bayi dalam operasi Imigresen di ibu kota awal pagi ini.

Kedua-dua wanita berkenaan bertindak nekad walaupun selepas diberkas di rumah kedai di Jalan Sultan Sulaiman di sini kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Ketika kejadian, anggota penguat kuasa langsung tidak menjangka situasi itu berlaku dan terpaksa mengejar mereka di tempat kejadian.

Salah seorang daripada wanita tersebut bagaimanapun berjaya ditangkap semula manakala seorang lagi yang mengendong bayi meloloskan diri.

Wanita yang tersungkur di tangan penguat kuasa Imigresen terus terduduk di atas jalan sebelum menjerit kuat menyebut ‘Anak aku!! anak aku!’ berulang kali.

Apabila ditanya wanita itu menjawab rakannya yang meloloskan diri itu membawa anaknya.

Gadis pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia yang berjaya ditahan anggota Jabatan Imigresen Wilayah Perseketuan Kuala Lumpur ketika lari memecut dalam satu operasi penguatkuasaan di rumah kedai Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 NOVEMBER 2021.

Pengarah Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur , Syamsul Badrin Mohshin berkata, selain insiden wanita bersama bayi dan rakannya cuba meloloskan diri ada juga pendatang tanpa izin (PATI) lelaki Bangladesh yang menyorok di atas siling tandas di bilik yang disewanya dengan menutup lampu sepenuhnya.

Dalam serbuan sama, katanya, ada juga lelaki warga Nepal yang mabuk dan membebel kepada penguat kuasa ketika diarahkan masuk ke dalam dalam trak.

Menurut Syamsul Badrin,  operasi penguatkuasaan dilaksanakan di deretan rumah kedai lima tingkat di Jalan Dewan Sultan Sulaiman 1 di sini bermula 12.10 tengah malam tadi hingga 2 pagi.

Operasi yang disertai seramai 51 pegawai dan anggota Imigresen Kuala Lumpur telah menyerbu lebih 11 kediaman dan memeriksa lebih 150 orang PATI.

Pengarah Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin selepas operasi penguatkuasaan di rumah kedai Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 NOVEMBER 2021.

“Hasil pemeriksaan itu, seramai 95 orang PATI telah ditahan atas kesalahan memiliki dokumen tidak sah, tidak ada permit kerja serta tidak ada dokumen langsung,” katanya ketika ditemui selepas operasi khas tersebut.

Mereka yang ditahan adalah terdiri daripada 52 lelaki dan 43 perempuan majoritinya warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Nepal dan Pakistan berusia antara 19 tahun hingga 65 tahun.

Kesemua yang ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen akan dihantar dan ditempatkan sementara di Depot Imigresen Bukit Jalil dan akan disiasat di bawah Seksyen 6(1) (c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sebahagian pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berjaya ditahan anggota Jabatan Imigresen Wilayah Perseketuan Kuala Lumpur dalam satu operasi penguatkuasaan di rumah kedai Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 NOVEMBER 2021.

“Majoritinya enggan memberi kerjasama dengan tidak membuka pintu bilik ketika diketuk oleh penguat kuasa dan kami terpaksa memecah masuk pintu serta menggunakan pemotong untuk mengumpil kunci pada jeriji pintu masuk rumah dan mencekup mereka,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya telah melakukan risikan dan memantau aktiviti serta pergerakan PATI di sini agak lama sebelum menyerbu mereka dan majoritinya berpekerjaan sebagai tukang bersih dan buruh di tapak binaan.

“Banyak yang memiliki pasport tamat tempoh dan ada juga yang langsung tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah dan tinggal secara haram di kawasan itu.

“Justeru tempat tinggal mereka juga kelihatan sangat merbahaya yang mana kabel elektrik dan sambungan air paip tidak dipasang teratur manakala dalam sebuah rumah, lebih lima bilik kecil menggunakan papan telah didirikan pemilik dan disewakan kepada PATI.

Sebahagian pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berjaya ditahan anggota Jabatan Imigresen Wilayah Perseketuan Kuala Lumpur dalam satu operasi penguatkuasaan di rumah kedai Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 NOVEMBER 2021.

“Ruang sempit dan tidak selamat diduduki andai kata berlaku kebakaran dan mereka tidak boleh menyelamatkan kerana keadaan bilik papan yang begitu bahaya.

“Oleh kerana kita tidak mengenali pemilik rumah kami akan menyiasat jika wujud unsur pemilik rumah melindungi PATI yang selain ketulenan pasport setiap PATI yang ditahan akan disemak sebelum pergi kepada tindakan lanjut,” tegasnya.-MalaysiaGazette

Anggota Jabatan Imigresen Wilayah Perseketuan Kuala Lumpur memeriksa pasport milik warga asing dalam satu operasi penguatkuasaan di rumah kedai Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 NOVEMBER 2021.