Datuk Seri Sulaiman Md Ali. Foto SYAFIQ AMBAK, 28 JULAI 2021.

AYER KEROH – Datuk Seri Sulaiman Md Ali berikrar mahu mengembalikan kegemilangan Melaka seperti dahulu.

Calon Ketua Menteri Melaka itu mahu negeri ini menjadi pilihan para pelabur dari seluruh dunia, selain bertekad menjadikan Melaka sebagai  pusat pengembangan Islam.

“Sebab itu seperti mana yang saya sebutkan sebelum ini, kita mesti berubah…kita mesti membawa seberapa banyak pembangunan yang boleh kita capai dan boleh diwariskan kepada anak cucu kita pada masa akan datang.

“Saya ingin melihat Melaka seperti mana negeri-negeri dan negara-negara lain yang rakyatnya maju dan ada peluang-peluang pekerjaan.

“Hari ini betul rakyat Melaka ada 930,000 orang, tanah makin lama makin sempit, macam mana anak-anak nak duduk, mana nak tinggal, di mana peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada program Diskusi Perdana BN bertajuk “Kestabilan Demi Kemakmuran” yang turut disertai Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, secara langsung di Facebook, sebentar tadi.

Beliau yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu berkata, untuk mencapai kegemilangan itu, sektor pelancongan Melaka perlu diperhebatkan supaya dapat menarik pelabur-pelabur meneroka peluang dan potensi negeri ini.

Katanya, seandainya perkara itu dapat direalisasikan, maka peluang pekerjaan akan dapat diwujudkan dengan banyak.

“Saya tak mahu lihat Melaka ketinggalan, saya tak mahu lihat kembali Melaka jadi sepi sebagaimana sebelum ini…pemimpin dahulu dah buat dah…jadi, saya kena fikirkan nasib anak cucu pada masa akan datang,” ujarnya.

Terdahulu, Sulaiman meminta agar pengundi-pengundi di Melaka tidak melihat calon yang hendak diundi pada 20 November ini kerana mereka sebenarnya bukan memilih calon. sebaliknya memilih kerajaan.

Beliau menasihatkan agar pengundi membuat pilihan yang betul pada kali ini kerana natijahnya akan berpanjangan jika mereka tersilap lagi seperti yang pernah berlaku 22 bulan dahulu. – MalaysiaGazette