Prime Minister Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob at the launch of National Vaccine Development Roadmap (PPVN) and Malaysian Genome and Vaccine Institute (MGVI). PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette / 01 NOVEMBER 2021.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Kerajaan berhasrat menyemak semula pengurusan pusat beli belah yang dimiliki oleh GLC (syarikat berkaitan kerajaan) supaya diuruskan oleh syarikat tempatan dalam memastikan para peniaga tempatan khususnya bumiputera dapat menjalankan perniagaan mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bagi menangani peniaga bumiputera dilihat masih kurang berkemampuan mendapatkan ruang perniagaan di premis berkenaan kerana kadar sewa yang dikenakan terlalu tinggi selain faktor persaingan.

“Kerajaan juga mengambil maklum bahawa golongan bumiputera masih rendah dari segi pemilikan premis perniagaan di pusat beli belah berprestij dan lokasi-lokasi tumpuan pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Cadangan itu diputuskan selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) menerusi sidang video semalam bagi membincangkan usaha memperkasa pembangunan ekonomi dan sosioekonomi bumiputera.

Menurutnya, mesyuarat turut mencadangkan agar kuota jumlah premis perniagaan milik bumiputera di lokasi-lokasi strategik diwujudkan selaras dengan usaha meningkatkan daya saing dan mengukuhkan ekonomi golongan itu.

“Namun kuota ini akan diuruskan dengan cara telus dan adil agar matlamat utama untuk membantu perniagaan bumiputera yang layak dan berpotensi tercapai tanpa disalah guna sehingga tersasar daripada objektif sebenar sejajar dengan aspirasi Keluarga Malaysia,” kata Ismail Sabri.

Merujuk kepada penglibatan bumiputera dalam perolehan kerajaan, mesyuarat dimaklumkan syarikat bumiputera telah memperoleh sebanyak 80 peratus daripada nilai kontrak tahunan keseluruhan agensi kerajaan.

Pada masa yang sama, katana, kerajaan komited untuk memastikan GLC dan GLIC turut menyokong aspirasi penglibatan syarikat Bumiputera dalam perolehan mereka.

“Mesyuarat juga dimaklumkan bahawa peluang penyertaan syarikat bumiputera terbuka luas dalam projek-projek pembangunan Sistem Rangkaian 5G oleh sebuah syarikat milik penuh kerajaan.

“Bumiputera akan mendapat manfaat sehingga 60 peratus daripada anggaran keseluruhan kos projek bagi tempoh 10 tahun pelaksanaannya. Sekali lagi, sistem perolehan akan diurus dengan telus dan adil supaya hanya syarikat bumiputera yang layak atas merit akan mendapat manfaat tersebut,” ujarnya.

Bagi menambahbaik tadbir urus serta penyampaian perkhidmatan mandat dan fungsi berkaitan bumiputera, kerajaan akan menubuhkan Unit Pemerkasaan Agenda Bumiputera (UPAB) di setiap Kementerian dan Agensi Kerajaan bagi menyelaras semua inisiatif, dasar dan agenda Bumiputera seperti yang telah
diputuskan di peringkat MKB.

TERAJU selaku sekretariat MKB turut membentangkan persiapan pelancaran Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) yang dijadualkan berlangsung pada 6hb Disember ini di Kuala Lumpur.

Berdasarkan prinsip kesaksamaan peluang dan kesaksamaan keberhasilan TPB2030 dibangunkan TERAJU ini berlandaskan intipati dari Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) didukung oleh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang terangkum dalam konteks Keluarga Malaysia.

Mesyuarat, katanya, turut bersetuju supaya fungsi dan peranan TERAJU diperkasa dalam memastikan agenda Bumiputera akan terus relevan dan kompetitif dengan perkembangan ekonomi semasa.- MalaysiaGazette