Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Melaka menerima peruntukan tertinggi daripada kerajaan Persekutuan untuk tahun ini dan 2022 berikutan pertumbuhan ekonomi negeri itu menguncup 5.9 peratus pada tahun lalu.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, peratusan itu lebih tinggi berbanding penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara iaitu 5.6 peratus pada tahun lalu.

Kata beliau, penguncupan itu memberi kesan mendalam akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia sehingga prestasi sektor perkhidmatan dan sub-sektor pelancongan negeri itu terjejas, dengan penurunan sebanyak 4.7 peratus dan 9.1 peratus.

“Akibat daripada kesan ini, ramai rakyat Melaka telah kehilangan pekerjaan, manakala perniagaan pula berhadapan dengan masalah kecairan kewangan.

“Menurut statistik Jabatan Perangkaan Negara, kadar pengangguran di Melaka telah meningkat daripada 1.1 peratus kepada 2.2 peratus tahun ini,” katanya dalam sesi menjawab lisan daripada Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) di Parlimen pagi ini.

Dalam soalan itu, Ahmad meminta Menteri Kewangan menyatakan senarai peruntukan dan bantuan yang diberikan kepada rakyat dan kerajaan Melaka untuk tahun 2021 dan untuk Belanjawan 2022.

Menurut Tengku Zafrul, dalam mengurangkan kesan itu, kerajaan Persekutuan telah mengambil tindakan proaktif melalui lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi yang berjumlah RM530 bilion.

Katanya, inisiatif itu bagi melindungi nyawa dan mata pencarian rakyat, selain kelangsungan perniagaan dan pemulihan ekonomi.

“Melalui pakej ini, kerajaan telah memberi perhatian kepada seluruh Keluarga Malaysia tanpa mengira bangsa, kaum, agama atau negeri,” katanya.

Beliau menjelaskan, bagi Melaka, tahun ini hampir RM500 juta bantuan tunai telah disalurkan kepada lebih 301,000 penerima melalui bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP).

Menurut beliau, sebanyak RM155 juta disalurkan melalui bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) yang dimanfaatkan oleh hampir 37,000 perusahaan mikro dan kecil dan RM150 juta yang disalurkan melalui Program Subsidi Upah (PSU) yang dimanfaatkan oleh 5,000 majikan serta menyelamatkan 49,000 pekerjaan.

“Selain bantuan tunai melalui pakej bantuan tunai dan ekonomi, kerajaan Persekutuan juga turut menyediakan peruntukan bagi melaksanakan beberapa projek pembangunan di Melaka

“Untuk tahun ini sahaja, sebanyak RM534 juta telah disediakan di bawah Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Negeri Melaka yang ini melibatkan 161 projek, selain peruntukan RM205 juta di bawah Pemberian Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri Melaka.

“Secara keseluruhan, peruntukan yang telah disediakan di bawah pakej rangsangan ekonomi, peruntukan pembangunan dan pemberian kerajaan Persekutuan kepada Melaka dianggarkan sebanyak RM1.5 bilion tahun ini,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan Persekutuan juga telah menyalurkan bayaran pendahuluan sebanyak RM55 juta kepada Melaka pada 10 November lalu bagi menampung aliran tunai operasi sehingga Disember ini.

Untuk tahun 2022, katanya, kerajaan Persekutuan akan memperuntukan sebanyak RM210 juta di bawah pemberian tahunan kepada Melaka, manakala RM574 juta di bawah perbelanjaan pembangunan bagi menampung 171 projek pembangunan.

“Daripada 171 projek yang diluluskan di Melaka itu, 39 merupakan projek baharu yang diluluskan untuk tahun 2022 melibatkan peruntukan RM51.8 juta.

“Selain itu, rakyat Melaka juga akan terus menerima bantuan tunai dengan anggaran peruntukan melebihi RM300 juta, yang bakal dimanfaatkan hampir 300,000 penerima melalui bantuan JKM serta Bantuan Keluarga Malaysia (BKM),” katanya. – MalaysiaGazette