Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang penuntut Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang disyaki mencederakan dan mencekik kenalan wanitanya dalam kejadian di tempat letak kereta sebuah residensi di Ampang dekat sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, mangsa yang merupakan seorang wanita tempatan berusia 26 tahun telah bertemu dengan suspek yang juga seorang lelaki warganegara asing.

Menurut beliau, suspek bertindak memegang kedua-dua belah siku mangsa lalu melagakan kepalanya dengan dahi wanita terbabit beberapa kali termasuk dahi dan muka.

“Pengadu meronta dan menjerit untuk melepaskan diri tetapi suspek terus bertindak dengan memeluk pengadu dengan kuat serta mencekik lehernya.

“Pengadu juga cuba untuk memegang suspek supaya tidak melarikan diri namun gagal.

“Kejadian berpunca kerana pengadu telah meminta semula kad pengenalan dirinya yang berada dalam simpanan suspek. Kad pengenalan itu dijadikan sebagai cagaran kerana pengadu ada meminjam wang dari suspek,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, mangsa juga didapati tiada tempat tinggal dan bergantung kepada suspek.

Katanya lagi, mangsa yang mengalami lebam pada bahagian kepala dan mata kemudiannya telah membuat laporan sebelum polis menjalankan siasatan dan berjaya memberkeas suspek di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya sekitar pukul 2.45 petang.

Tambah Mohamad Farouk, suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 20 November untuk siasatan mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, kata Mohamad Farouk, hasil semakan lanjut mendapati wanita terbabit mempunyai rekod orang dikehendaki berkait kes dadah.

“Pengadu kemudiannya telah ditahan dan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette