One Hope Charity memperuntukan 1,000 bakul makanan kepada penuntut universiti yang memerlukan.

GEORGE TOWN – Sebanyak 1,000 bakul makanan akan diagihkan kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta terdiri daripada keluarga B40 yang memerlukan bagi meringgankan beban mereka.

Pengerusi pertubuhan kebajikan One Hope Charity and Welfare (One Hope Charity), Datuk Chua Sui Hau berkata, langkah pengagihan bakul makanan itu dibuat susulan pihaknya dihujani panggilan daripada beberapa penuntut IPT yang meminta bantuan keperluan harian serta alat pelindung diri.

Jelas beliau, rata-rata mereka mendakwa memerlukan bantuan itu susulan keluarga masing-masing mengalami kekurangan pendapatan sejak penularan wabak Covid-19.

“Daripada situ kita putuskan untuk agih bakul makanan bernilai RM250 yang berisi makanan kering dan alat pelindung diri termasuk dua kotak pelitup muka serta tiga botol sanitasi.

“Agihan akan dibuat kepada penuntut IPTA dan IPTS Semenanjung apabila permohonan mereka diluluskan malah, barang keperluan berkenaan akan dibungkus dalam kotak dan dihantar melalui syarikat kurier ke asrama kampus dan asrama luar kampus.

“Sehubungan itu, penuntut yang memohon dinasihatkan mengisi butiran dengan betul dan lengkap supaya syarikat kurier yang dilantik dapat menjalankan tugas dengan lebih lancar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penuntut IPTA/IPTS yang memerlukan bantuan bakul makanan itu boleh membuat permohonan secara online mulai hari ini melalui sesawang ONE HOPE CHARITY & WELFARE dengan pautan https://www.onehopecharity.org/onehope-aid-form/. – MalaysiaGazette