Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR- Pembayaran Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 Fasa 2 di bawah Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) berjumlah RM500 akan dibuat mulai 23 November ini dan bakal memanfaatkan lebih 1 juta PKS mikro yang layak.

Bayaran ini adalah lanjutan daripada bayaran Fasa 1 sebanyak RM500 yang telah dibuat pada September 2021, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Secara keseluruhan, setiap peniaga terbabit akan menerima bayaran berjumlah RM1,000 di bawah GKP 4.0 bagi meringankan beban kewangan mereka akibat pandemik Covid-19.

”Inisiatif ini akan melibatkan penerima sedia ada GKP 1.0, GKP 2.0, GKP 3.0 dan penerima baharu GKP 4.0 dengan implikasi kewangan sebanyak RM500 juta,” katanya dalam kenyataan di sini

Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP. Semakan status kelulusan GKP 4.0 boleh dibuat mulai 22 November 2021 melalui Portal GKP, iaitu https://gkp.hasil.gov.my.

Secara keseluruhan, jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan kepada lebih 1 juta PKS mikro di bawah GKP semenjak Covid-19 melanda negara adalah sebanyak RM6.08 bilion.

Ismail Sabri berkata, kerajaan berharap agar bantuan tunai berterusan kepada PKS mikro yang layak ini dapat membantu aliran tunai di samping menggerakkan dan memulihkan kembali perniagaan mereka yang merupakan sektor yang paling terjejas sepanjang pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette