KUALA LUMPUR – Seramai 21 petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang  terkandas di Pos Tohoi, Gua Musang, Kelantan hampir 24 jam akhirnya berjaya dikeluarkan dari kawasan tersebut.

Pengarah Bahagian Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Nazili Mahmood berkata, mereka terkandas di Pos Tohoi berikutan laluan darat di lokasi terbabit terputus hubungan selepas jambatan di kawasan itu runtuh akibat hujan lebat.

Pihaknya telah menerima permohonan bantuan itu daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) semalam.

“JAKOA menghantar permohonan kepada kami untuk membawa mereka keluar melalui udara dengan menggunakan pesawat memandangkan perjalanan menggunakan jalan darat mengambil masa lima hari untuk sampai ke Kuala Lumpur,” katanya hari ini.

Sebahagian petugas KKM dibawa dari Pos Tohoi Gua Musang Kelantan oleh Unit Udara Bomba Malaysia hari ini. Gambar Ihsan Unit Penerbangan Udara Bomba Malaysia

Nazili berkata, operasi penyelamatan itu sepatutnya dilaksanakan semalam tetapi ia terpaksa ditangguhkan akibat keadaan cuaca yang sangat buruk dan dilaksanakan hari ini.

“Operasi itu dijalankan dengan penerbangan pesawat dari Pulau Langkawi, Kedah, pada jam 9.20 pagi dan pesawat tiba di Pos Tohoi jam 11.10 pagi.

“Kesemua petugas KKM telah selamat tiba di Subang, Selangor jam 12.20 tengah hari tadi,” ujar beliau. – MalaysiaGazette