Tiga beranak diserang sekumpulan individu ketika menjamu selera di sebuah restoran nasi kandar di Golden Triangle, Bayan Lepas, Pulau Pinang semalam.

BAYAN LEPAS – 13 individu termasuk tiga wanita ditahan bagi membantu siasatan kejadian menyerang sebuah keluarga di restoran nasi kandar di Golden Triangle di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, mangsa dikatakan sedang menjamu selera bersama isteri serta anaknya sebelum diserang suspek bersama isterinya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, berlaku pertengkaran mulut sebelum pergaduhan susulan suspek mendakwa mangsa mencabul isterinya yang merupakan bekas pekerja mangsa.

Kata beliau, mangsa menafikan tuduhan itu namun suspek bertindak menyerang anak perempuan mangsa.

Kamarul Rizal.

“Susulan itu, kira-kira 20 individu yang tidak dikenali menyerang keluarga mangsa dan salah seorang daripada suspek menggunakan topi keledar ketika melakukan serangan.

“Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan serta lebam pada kepala manakala isteri serta anak perempuannya turut mengalami kecederaan ringan pada tangan serta lutut.

“Empat laporan dibuat berhubung kejadian itu setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, bertindak atas maklumat dan risikan pihak polis menahan 13 individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut bagi membantu siasatan.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada kenalan daripada kedua-dua pihak.

“Kesemua mereka ditahan yang berusia 20 hingga 45 tahun itu direman selama tiga hari sehingga 21 November ini bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh,” ujar Kamaru Rizal.

Terdahulu tular dua rakaman video menunjukkan kejadian sebuah keluarga diserang sebuah restoran nasi kandar.

Video berdurasi 23 dan 36 saat itu tular di media sosial sejak pagi tadi. – MalaysiaGazette