Calon Perikatan Nasional N20 Kota Laksamana, Karen Fong Khai Ling bercakap kepada media selepas melawat muzium bersejarah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Muzium Kaligrafi Sim Mow Yu, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 11 NOVEMBER 2021.

MELAKA – Bimbang peratusan keluar mengundi yang kurang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, calon Perikatan Nasional (PN), Fong Khai Ling hari ini merayu agar pengundi untuk keluar mengundi esok.

Menurut beliau, ada pengundi yang memberitahu beliau bahawa mereka takut untuk keluar mengundi kerana bimbang dijangkiti Covid-19.

“Saya rasa pengundi akan turun dalam lingkungan 60 peratus sahaja sebab ada pengundi luahkan kepada saya, mereka takut nak mengundi kerana Covid-19, jadi mereka tak turun mengundi.

“Jadi saya pujuk mereka untuk turun mengundi. 50 peratus mereka cakap nak tukar (calon lain) jadi mereka nak turun undi tapi ada 50 peratus mereka takut nak turun undi kerana Covid-19 sangat serius,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mengulas lanjut, Khai Ling berkata sebagai calon muka baru beliau boleh menawarkan khidmat cemerlang sebagai wakil rakyat sekiranya dipilih esok.

“Saat-saat akhir adalah masa yang penting bagi kami untuk buat persiapan terakhir. Saya ada buat video dan berjumpa dengan pengundi di kampung-kampung,” katanya lagi.

Kurang 24 jam lagi untuk berkempen, Khai Ling berkata beliau menyerahkan kepada pengundi untuk menentukan siapa pilihan mereka bagi kerusi DUN Kota Laksamana yang akan mewakili mereka di Dewan Undangan Negeri Melaka, kelak.

“Adat pertandingan pasti ada pihak yang kalah dan menang, Saya serahkan kepada pengundi di DUN Kota Laksamana untuk menentukan siapa wakil rakyat pilihan mereka.

“Saya agak terkilan semalam apabila wakil DAP tidak muncul semasa sesi debat antara wakil-wakil calon. Sambutan sangat baik sampiakan ada pengundi yang mahu saya tandatangan poster dan belanja saya makan,” katanya lagi.

Kerusi DUN Kota Laksamana menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional.

BN meletakkan claon MCA, Low Chin Hong menentang Fonf Khai Ling dari Perikatan Nasional dan penyandang kerusi ini Low Chee Leong daripada DAP.

Chee Leong memenangi kerusi DUN Kota Laksamana pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu dengan majoriti 16,173 undi. – MalaysiaGazette