Pintu masuk UPSI

KUALA LUMPUR – Seramai 4,009 graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menerima ijazah masing-masing pada majlis Istiadat konvokesyen UPSI ke-22 yang akan diadakan di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City bermula esok hingga 26 November 2021.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Prof Madya Dr Mohd Izwan Shahril berkata, sesi pertama pada 20 November ini akan disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim, selaku Canselor UPSI bermula jam 9 pagi.

Istiadat Konvokesyen kali ini melibatkan tujuh sidang sesi pagi sahaja bagi memberi ruang kerja-kerja sanitasi dijalankan pada waktu petang.

UPSI akan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Sukan kepada Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada Tan Sri Azman Hashim, Ijazah Kehormat Sains Pertanian kepada Datuk Syed Elias Syed Ahmad dan Gelaran Profesor Emeitus kepada Prof. Dr. Omar Abdull Kareem.

Menurut beliau, daripada jumlah 4,009 graduan itu, graduan Ijazah Kedoktoran seramai 88 orang, Sarjana 684, Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah 343, Sarjana Muda 2572 dan Diploma 322.

Konvokesyen ini menyaksikan pecahan graduan mengikut fakulti iaitu Fakulti Bahasa dan Komunikasi (543), Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (189) Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (515) Fakulti Sains Kemanusiaan (365), Fakulti Sains dan Matematik (436) Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (333) Fakulti Seni, Sains Komputeran dan Industri Kreatif (392) Fakulti Pembangunan Manusia (1,059), dan Fakulti Teknikal Vokasional (177).

UPSI akan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi bagi mengelakkan sebarang penularan dan ibu bapa hanya dibenarkan menghantar graduan di Padang Kawad, Kampus Sultan Azlan Shah.

Graduan akan dibawa dengan bas ke Dewan Tuanku Canselor dan pergerakan juga terkawal, katanya.

Pesta Konvokesyen tidak diadakan berikutan pematuhan SOP bagi mengelakkan tumpuan ramai keluarga atau pengunjung. – MalaysiaGazette