Datuk Willie Anak Mongin memukul gong sebagai simbolik mengumumkan Kampung Sabun, Simunjan dipilih sebagai lokasi tapak ramp KPSM Daerah Serian Berhad yang baharu.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyeru pekebun kecil di Serian melibatkan diri dengan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) supaya lebih ramai dalam kalangan mereka mendapat manfaat.

Bagi kawasan Serian, terdapat 2,629 pekebun kecil persendirian berlesen dengan keluasan tanaman sawit sebanyak 13,449 hektar.

Namun, hanya kira-kira 543 orang atau 20 peratus sahaja yang berdaftar sebagai ahli KPSM Daerah Serian Berhad.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Anak Mongin berkata, penubuhan KPSM ini adalah untuk mengalakkan para pekebun kecil persendirian menjalankan penanaman sawit secara mampan, khususnya melalui pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Selain itu, ia koperasi ini khusus untuk membantu mengurangkan kos pengangkutan, mendapatkan harga pasaran buah tandan segar (BTS) yang lebih tinggi, menggalakkan penjanaan dan pengagihan dividen kepada ahli-ahlinya.

Sehingga 30 September 2021, sebanyak 69 KPSM telah ditubuhkan di seluruh negara iaitu 24 di Semenanjung, Sabah (27) dan Sarawak (18).

Data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) terbaharu merekodkan seramai 37,532 pekebun kecil persendirian berlesen dengan keluasan tanaman sebanyak 132,976 hektar di Bumi Kenyalang.

Bagaimanapun sehingga bulan lepas, bilangan pekebun kecil persendirian yang mendaftar sebagai ahli 18 KPSM negeri ini hanya 10 peratus atau 3,455 orang.

Mengulas mengenai MSPO, sebanyak 1.5 juta hektar atau 98 peratus daripada 1.6 juta keseluruhan kawasan tanaman sawit di Sarawak telah memperoleh pensijilan itu.

”Pencapaian ini sangat membanggakan memandangkan keluasan tanaman sawit di negeri ini adalah yang terbesar iaitu 28 peratus daripada keseluruhan keluasan keseluruhan agrikomoditi itu di Malaysia iaitu seluas 5.8 juta hektar sehingga September lalu.

”Ia termasuk 32 Kluster Minyak Sawit Mampan (SPOC) kendalian MPOB untuk pekebun kecil persendirian dan 43 unit ladang Pekebun Kecil Tersusun (PKT) yang dikendalikan oleh agensi sawit Persekutuan atau negeri,” katanya selepas melakukan lawatan ke Ramp Pusat Timbang Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) Daerah Serian Berhad.

Sebanyak 685 ladang atau estet telah dipersijilkan MSPO dan 132 kilang serta 138 entiti Standard Pensijilan Rantaian Bekalan (SCCS) yang turut dipersijilkan MSPO di negeri ini.

Sejumlah 26,646 daripada 40,583 kebun milik pekebun kecil persendirian yang berlesen dan daripada jumlah itu dengan keluasan tanaman
seluas 152,900 hektar atau 65.38 peratus daripada keseluruhan kawasan tanaman sawit PK berlesen telah dipersijilkan MSPO.

Manakala seramai 13,937 pekebun kecil persendirian berlesen dengan jumlah keluasan tanaman sawit sebanyak 80,980 hektar masih belum memiliki MSPO. – MalaysiaGazette