drug case police lockup escapee Perak state assemblyman drug PDRM murder case Jalan Ampang logo
Gambar hiasan

GEORGE TOWN – “Setiap hari mesti ada laporan membabitkan kes jenayah komersial di Pulau Pinang.

Itu pendedahan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Asmadi Yusoff ketika diminta mengulas mengenai tahap kesedaran orang awam mengenai jenayah siber yang kini dilaporkan semakin meningkat.

Menurut Mohd Asmadi, berdasarkan siasatan pihaknya sindiket penipuan menjerat mangsa mengikut trend pemasaran barang terkini.

Mohd Asmadi.

“Berdasarkan laporan diperoleh kes penipuan membeli barang kemas secara online, pembelian perabot, pembelian telefon bimbit jenama iPhone serta pembelian konsol permainan video kerap dilaporkan.

“Contohnya, iPhone memperkenalkan telefon bimbit baharu jadi scammer ambil kesempatan dengan menawarkan telefon bimbit versi sebelumnya dengan harga tidak masuk akal untuk menarik minat mangsa.

“Ramai rakyat di negara ini mudah terpedaya dengan cara begini sedangkan semua kita sedia maklum tiada pihak yang akan menawarkan sesuatu barang pada harga lebih murah berbanding harga di pasaran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.

Tambah Mohd Asmadi, pihaknya tidak menolak kemungkinan sindiket penipuan mengkaji perkembangan terkini dalam kalangan masyarakat untuk dijadikan umpan menarik mangsa terjerat dengan penipuan mereka.

“Mangsa yang ditipu pula terdiri daripada pelbagai golongan contohnya golongan belia mudah tertipu dengan pembelian gajet manakala golongan bukan belia tertipu dengan pembelian barang kemas serta perabot.

“Kita harap orang ramai tidak mudah terpedaya dengan penipuan sebegini khususnya di media sosial agar kes jenayah siber dapat dibendung daripada terus meningkat,” kata Mohd Asmadi. – MalaysiaGazette