Gelagat seorang pengundi membawa basikal elektrik pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal, Melaka, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 NOVEMBER 2021.

MELAKA – Peratusan keluar mengundi bagi pilihan raya negeri (PRN) Melaka sehingga pukul 3 petang adalah sebanyak 57%, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sebanyak 271 pusat pengundian dibuka sejak jam 8 pagi tadi.

PRN Melaka menyaksikan seramai 476,037 pengundi biasa daripada keseluruhan 495,195 pengundi mengundi di 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Petugas SPR membantu menolak kerusi roda seorang warga emas pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal, Melaka, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 NOVEMBER 2021.

SPR menyasarkan kira-kira 70 peratus daripada 495,196 pengundi yang layak akan keluar mengundi pada PRN pertama di Melaka.

Seramai 112 calon bertanding yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Perikatan India Muslim Malaysia (Iman) dan bebas.

Daripada keseluruhan kerusi DUN yang bertanding, tiga kerusi menyaksikan saingan enam penjuru, lima penjuru (enam), empat penjuru (lapan) dan tiga penjuru (11). – MalaysiaGazette