KUALA LUMPUR – Pelakon yang cukup dikenali Jasmin Hamid, 47, menamatkan gelaran ibu tunggal selepas 10 tahun apabila bernikah dengan pengurusnya, Nazmir Abd Rahim, 35, petang semalam.

Pernikahan kedua pasangan itu diadakan di di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan penularan Covid-19.

Selain 10 individu menyaksikan pernikahan berkenaan, turut hadir termasuk ibu bapa dan adik-beradik Nazmir serta anak Jasmin.

Jasmin menerima sepersalinan kelengkapan ibadat, mas kahwin RM80 dan wang hantaran yang dirahsiakan jumlahnya.

Mengulas mengenai pernikahannya, Jasmin berkata, keputusan untuk berkahwin dengan pengurusnya itu dibuatnya sebulan yang lalu.

“Jika diikutkan, saya bercinta dengan orang lain, tetapi jodoh dengan dia,” katanya.

Jazmin mengakui perlu membiasakan diri selepas bergelar isteri kepada Nazmir kerana sebelum ini hubungan kedua-dua mereka hanya berlandaskan kerja.

“Kami juga bahasakan diri ‘engkau’ dan ‘aku’. Janggal pula rasanya sekarang. Selepas ini kena panggil dia ‘baby’ mungkin,” seloroh Jasmin yang mempunyai tiga orang anak menerusi perkahwinan sebelum ini.-MalaysiaGazette