LENDU – Tidak ada lagi pilihan raya umum bagi negeri Melaka tahun hadapan, jadi keluarlah mengundi untuk menentukan kerajaan negeri.

Itu pesan calon Barisan Nasional (BN) di DUN Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali kepada rakyat di negeri ini supaya keluar mengundi hari ini.

“Kita nak memilih kerajaan, kita bukan lagi memilih calon. Tempoh itu sudah berlalu,”kata Sulaiman Md Ali ketika ditemui media selepas membuang undi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Durian Daun (K) di sini pagi ini.

Calon BN N.04 Lendu yang merupakan calon ketua menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali membuang undi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Sekolah Kebangsaan Durian Daun (K), Masjid Tanah, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 20 NOVEMBER 2021.

Dalam pada itu, beliau berpuas hati dengan perjalanan proses membuang kertas undi  di Sek Keb. Durian Daun (K).

Melihat kepada kadar kehadiran pengundi yang keluar mengundi pada awal pagi, beliau menyifatkan suasana pengundian pagi ini sama seperti ketika Pilihan Raya Umum (PRU-14) yang lalu.

“Pagi ini agak ramai. Saya yakin kesedaran orang untuk keluar mengundi kali ini agak tinggi,” ulas Sulaiman.

Beliau yang juga merupakan penyandang kerusi di kawasan ini turut sapa mesra pengundi-pengundi ketika melalui semua ‘check point’ pusat mengundi untuk ke dewan saluran 3 tempat beliau dan isteri membuang undi.

“Ini kampung saya, tempat kelahiran saya. Ini sekolah saya, jadi kebanyakan mereka yang mengundi di sini memang saya kenali. Sebab itu ramai menyapa,” jelasnya yang ceria berbaju biru ditemani isteri, Datik Seri Munira M. Yusop.

Sulaiman Md Ali (tengah) ditemani isterinya, Datin Seri Munira M Yusop (kanan) beramah mesra dengan pengundi di Sekolah Kebangsaan Durian Daun (K), Masjid Tanah, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 20 NOVEMBER 2021.

Pada masa sama, Sulaiman turut berpesan kepada semua pengundi supaya mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam keadaan norma baharu ini ketika mengundi.

Sebelum itu, beliau tiba bersama isteri, Munira M. Yusop dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) kira-kira 8.42 pagi tadi.

Bagi kerusi DUN Lendu, beliau bersaing dengan calon daripada Perikatan Nasional (PN), Mejar (B) Abdullah Mahadi dan Mohamad Asri Ibrahim yang mewakili Pakatan Harapan (PH). – MalaysiaGazette