Home Utama Kenaikan harga baja: Kerajaan bantu kurangkan beban pesawah – PM

Kenaikan harga baja: Kerajaan bantu kurangkan beban pesawah – PM

SEKINCHAN – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan amat memahami isu yang dihadapi para pesawah dan petani seluruh negara yang disebabkan oleh kenaikan harga baja dan racun.

Justeru, beliau berkata Kementerian Kewangan telah diarahkan untuk menyelesaikan perkara itu bagi memastikan harga dapat dikurangkan selain menyediakan bantuan tertentu bagi mengurangkan beban petani terutamanya pesawah.

“Kita berbincang perkara ini dalam Kabinet dan kita faham harga racun tinggi, harga padi tinggi, kos akan meningkat dan akan kurangkan dari segi pendapatan bersih para petani terutama pesawah-pesawah.

“Percayalah masalah rakyat, masalah pesawah adalah masalah kerajaan juga dan kita tidak akan biarkan bebanan tersebut ditanggung sendirian oleh pesawah dan petani seluruh negara, insya-Allah kita akan bantu,” katanya pada Majlis Pelancaran Benih Padi IS21 di sini, hari ini.

Ismail Sabri menjelaskan, peningkatan harga baja dan racun adalah disebabkan barangan itu diimport dari luar negara.

Walaupun terdapat syarikat dalam negara termasuk koperasi dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mengeluarkan baja serta racun, namun beliau berkata, bahan mentah barangan itu juga diimport dari luar.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa berusaha mempertingkatkan produktiviti industri padi dan beras dilakukan secara proaktif, termasuk memperkenalkan teknologi terkini bagi mendepani cabaran serta memperkasakan lagi keupayaan.

“Namun, tanggungjawab ini tidak boleh diletakkan di bahu kerajaan, pesawah dan petani semata-mata tetapi memerlukan usaha bersama sebagaimana sering saya tekankan iaitu keterangkuman dan kebersamaan yang merupakan antara teras utama konsep Keluarga Malaysia,” katanya.

Bagi tujuan itu, beliau menyeru lebih ramai penyelidik tempatan pelbagai bidang kepakaran turut sama mengetengahkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta menggembleng tenaga membangunkan inovasi agromakanan ke arah memacu Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi, sekali gus meningkatkan taraf hidup Keluarga Malaysia.

Katanya, kerajaan juga sentiasa bersiap siaga mendepani cabaran dunia dan tampil dengan pelbagai inisiatif berpaksikan rakyat, termasuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu pelan pembangunan menyeluruh untuk manfaat Keluarga Malaysia yang makmur, inklusif dan mampan.

Ismail Sabri berkata sasaran utama kerajaan adalah ke arah negara berteknologi tinggi serta berpendapatan tinggi dengan program penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) dikenal pasti sebagai satu daripada teras utama RMK12. – MalaysiaGazette