Pesawat F-35; foto: Facebook

LONDON – Britain sedang bergelut mencari serpihan pesawat, F-35 milik tentera laut yang terhempas di perairan antarabangsa berikutan kekhuatiran terhadap Turki yang turut mencarinya, kata penganalisis kepada The National.

Bahagian badan pesawat bernilai AS$134.5 juta itu disifatkan sebagai habuan besar jika ditemui kerana ia akan membolehkan pesaing meniru keupayaan stealth (tidak boleh dikesan radar) atau meningkatkan keupayaan mereka untuk menembak jatuh pesawat jenis itu.

Kapal perang Britain dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kini mengawal lokasi kemalangan di timur Laut Mediterranean selepas pesawat canggih yang berlepas dari kapal pengangkut HMS Queen Elizabeth terhempas pada Rabu lalu.

Para pegawai United Kingdom (UK) berkata, kementerian pertahanan bertindak segera bagi mencari pesawat pejuang itu.

Ia merupakan insiden pertama pesawat F-15 terhempas di perairan antarabangsa. Juruterbangnya terselamat dengan menggunakan kerusi anjal dan beliau dibawa ke kapal pengangkut pesawat itu.

Selain Turki, difahamkan Rusia berminat mencari pesawat itu, yang mana dengan penemuan serpihan bahagian luar pesawat boleh disifatkan sebagai sesuatu yang amat berguna.

Data penjejakan laut terbaharu menunjukkan sejumlah aktiviti kapal perang di selatan Crete, dengan kapal pemusnah Britain kategori 45 ditempatkan di samping sebuah kapal penunda khas.

Kapal perang dari Sepanyol dan Jerman turut berada di kawasan tersebut, dan kapal sokongan pembinaan Norway yang menuju ke perairan itu berpotensi digunakan untuk mengangkat pesawat seberat 15 tan itu.

Kapal pengangkut pesawat HMS Queen Elizabeth berada berhampiran Sicily, kira-kira 900 kilometer dari kawasan tersebut.

Sumber pertahanan menyatakan Turki ‘amat berminat’ untuk mencari bahagian pesawat itu, terutama selepas Amerika Syarikat (AS) tidak mahu menjual pesawat pejuang jenis itu kepada Ankara.
Sebarang penemuan teknologi boleh digunakan oleh Turki untuk mengembangkan industri pertahanan bagi membangunkan pesawat canggih negara itu.
“Turki telah disingkirkan daripada program F-35, oleh itu saya pasti mereka ingin mempunyai beberapa serpihan untuk industri aeroangkasa domestik mereka.

“Saya juga pasti mereka ingin mencari beberapa rahsia teknikal F-35.

“Kedua-dua kerajaan Britain dan AS amat inginkan pesawat ini ditemui,” kata Gareth Jennings, pengarang Janes Defence Weekly.

Difahamkan Kementerian Pertahanan UK bimbang memandangkan Rusia mempunyai pengkalan tentera laut di Tartus, Syria yang mengambil masa pelayaran lebih sehari.

Terdapat kemungkinan kapal awam menjumpai serpihan pesawat itu dan menjualnya kepada kuasa asing, termasuk China.

“Ia merupakan kembimbangan. Lightning (pesawat F-35) dilengkapi dengan radar sinar imbasan elektronik moden, pengesan optikal elektro dan peralatan penglihatan malam.

“Jika anda boleh menemui bagaimana ia berfungsi (maka) anda boleh merungkai bagaimana pesawat ini boleh mencapai sasarannya,” kata sumber tentera.

Beliau menambah, perakam penerbangan pesawat itu boleh mendedahkan maklumat prestasi rahsia F-35.

“Terdapat banyak pelakon di wilayah ini yang mahukan pesawat ini,” katanya.

Pihak tentera berharap langkah yang diperkenalkan untuk melindungi pesawat F-35 daripada kejuruteraan berbalik – kerana ia sentiasa ditujukan sebagai produk eksport – mencukupi untuk mengelak rahsia didedahkan.
Bagaimanapun, hanya sekeping serpihan adalah berguna, menurut badan pemikit tentera udara, Royal United Services Institute (RUSI),  Dr Justin Bronk.

“Salah satu inovasi utama F-35 ialah penyerapan radar yang canggih dan sangat tahan.

“Mereka juga mahu menemui perkakasan dalam aspek pengesan, radar, pemancar, sistem sasaran, dan lensa.

“Saya pasti Rusia mahu mengambil bahagian. Sudah pasti AS dan Britain mahu mengawal kawasan kemalangan dan menemuinya secepat mungkin. Jika mereka tidak boleh mengangkatnya, mereka mungkin memusnahkannya di tempat itu,” katanya.

Seorang pakar penerbangan Janes Defence Weekly, Tim Ripley berkata, sampel cat daripada badan pesawat itu akan membolehkan saintis mengetahui komposit yang digunakan.

“Apabila mereka memperolehinya, mereka boleh melakukan ujian kepada sistem mereka terhadap sistem ini dan mencari jalan bagaimana untuk menambah baik untuk menjejaki pesawat,” katanya.

Kapal selam Britain yang mengiringi kapal pengangkut pesawat dan sebarang kapal selam AS atau NATO di kawasan berhampiran berkemungkinnan besar menuju ke kawasan kemalangan bagi melinduingi pesawat itu. Kapal selam Rusia ditempatkan di Tartus.

Perairan di selatan Crete mempunyai kedalaman kira-kira 2,000 meter yang mana mustahil bagi penyelam melakukan penyelaman namun kenderaan selaman tentera laut AS boleh melakukan penyelaman sedalam 6,000 meter.

Usaha pencarian itu dijangka mengambil masa berminggu-minggu dan ia boleh dibantutkan oleh keadaan cuaca yang buruk.

Tentera laut mahu mancari punca nahas itu. Berlepas dari kapal pengangkut sentiasa mencabar, dengan kegagalan enjin, masalah teknikal, serangan burung atau kesilapan juruterbang mungkin menjadi penyebab,

Ia merupakan kemalangan ketiga membabitkan pesawat F-35 dalam tempoh tiga tahun. – Agensi