Gambar tular dalam media sosial dakwaan seorang wanita kononnya telah menjadi mangsa rogol dua lelaki tidak dikenali sedang disiasat polis di bawah Sekyen 370 Kanun Keseksaan kerana merogol selepas menerima aduan dari mangsa Khamis lalu..-Gambar Ihsan Polis IPK KL.

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur telah mengesahkan menerima satu laporan  daripada seorang wanita yang mendakwa dirinya telah menjadi mangsa rogol oleh dua suspek lelaki warga tempatan yang tidak dikenalinya.

Laporan itu diterima pada 18 November lalu jam 8.06 malam, kata Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan dan Perundangan) Kuala Lumpur Asisten Komisioner, Kamaruzaman Elias hari ini.

“Dalam laporan tersebut, mangsa seorang gadis berusia 19 tahun mendakwa kejadian itu berlaku pada 17 November 2021, lebih kurang 9 malam.

Ketika itu dia bersama rakan-rakan sedang berhibur di sebuah kelab di ibu kota.

“Semasa kejadian, mangsa dikatakan mabuk, dipercayai telah diberikan minuman yang disyaki mengandungi dadah.

“Mangsa kemudiannya dibawa oleh kedua-dua suspek ke sebuah hotel di ibu kota bersama seorang lagi rakan mangsa. Mangsa menyedari dirinya telah dirogol selepas dimaklumkan oleh rakan mangsa,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pagi ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menambah, sebuah video yang mendakwa  wanita itu telah menjadi mangsa rogol dua suspek lelaki itu telah dikesan tular di media sosial Twitter dan Facebook.

Pemilik akaun Twitter bernama Tasha@nurulnatashaa berkongsi gambar dua lelaki tidak dikenali itu beserta teks ringkas dan meminta orang ramai tularkan dan mencari kedua-dua individu itu yang didakwa merogol rakan kenalannya.

Kamaruzaman  berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap laporan wanita ini.

Kertas siasatan telah dibuka dan kes diklasifikasikan sebagai kes rogol yang disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan polis telah mempergiatkan usaha  mengesan kedua-dua suspek lelaki tersebut.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung dengan kejadian ini boleh menyalurkannya kepada hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/ 585 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran. – MalaysiaGazette