Mohd Puad Zarkashi UMNO Deputy Prime Minister Ismail Sabri Yaakob cabinet reshuffle
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Pas perlu kembali menyokong pendirian ummah selepas parti itu tewas dalam kesemua kerusi yang ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka apabila bertanding di bawah lambang Perikatan Nasional (PN).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, Pas perlu bersabar dan mencari sahabat politik bukan rakan kongsi yang hanya memikirkan keuntungan namun meninggalkan mereka sekiranya berdepan kerugian.

Namun jelas beliau, walaupun Barisan Nasional (BN) menang PRN Melaka namun ia tidak membuatkan gabungannya angkuh.

“BN mesti bersyukur. Insya-Allah, BN tidak akan angkuh dengan kemenangan itu. Pas pula kena banyak bersabar.

“Carilah sahabat politik bukan rakan kongsi politik. Rakan kongsi hanya fikirkan untung. Bila rugi, dia akan lari tinggalkan rakan kongsi. Sepatutnya UMNO-Pas bersahabat.

“Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin kata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia  (Bersatu) masih untung kerana menang dua. Itu sindir Pas ke yang dapat 0? Pas, kembalilah ke pangkal ummah (Muafakat Nasional),” katanya dalam satu hantaran di Facebook di sini hari ini. – MalaysiaGazette