ADUN Merlimau baharu, Dr Muhamad Akmal Salleh beramah mesra bersama masyarakat setempat selepas memenangi kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka N.27 Merlimau di Medan Selera Merlimau, Melaka. Foto AMIRUL SHAUFIQ 21 NOVEMBER 2021.

MERLIMAU – Kemenangan bergaya  Dr Muhamad Akmal Saleh pada saat akhir bukan hanya bantuan daripada akar umbi Pas semata-mata.

Bahkan semua pihak telah memenangkan beliau di kerusi N27 Merlimau dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam.

Dr Akmal mengakui tanpa sokongan dan undi daripada pengundi selain Barisan Nasional (BN), beliau tidak mungkin mampu mempertahankan kerusi itu daripada dua pencabar sengit daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

“Ini adalah sokongan daripada semua pihak, bukan sahaja akar umbi Pas, mungkin kalau kita lihat kita hanya menang 260 undi (majoriti) berdasarkan undi kita.

“Bila kemenangan lebih 3,000 undi, saya menjangkakan ini adalah daripada semua, India, Cina, akar umbi, tak kisahlah orang Amanah atau Pas,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Terdahulu Dr Akmal bersama isterinya, Fatin Nadhirah Idrus menyantuni rakyat dan merakamkan penghargaannya kepada pengundi di sekitar Medan Selera Bandar Baru Merlimau.

Semalam, BN memenangi dua pertiga PRN Melaka dengan menewaskan pencabar sengitnya, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) dengan memperoleh 21 kerusi berbanding dua milik PN dan lima kerusi yang dipertahankan PH.

Dr Akmal menang bergaya selepas memperoleh 5,632 undi dengan 3,248 majoriti, meninggalkan calon PH, Azrin Ab Majid (2,385) dan PN, Abdul Alim Shapie (1,622).

Dalam pada itu, Dr Akmal juga tidak menolak kemungkinan slogan BN yang hanya menawarkan kestabilan politik demi kemakmuran mampu menarik minat pengundi apatah lagi serik dengan siri kejatuhan kerajaan sebelum ini.

“Sebab hari ini rakyat sudah boleh menilai, rakyat mahukan pemimpin yang benar-benar boleh berkhidmat kepada mereka.

“Parti adalah menjadi pilihan nombor dua tetapi sekarang ini rakyat mahu kalau pemimpin itu benar-benar berkhidmat dan berkualiti, tak kira parti apa pun dia akan pilih.

“Itulah realitinya sekarang. Jadi kepada semua Yang Berhormat, kena tunjuk prestasi, kalau tidak, pilihan raya selepas ini rakyat akan buang kita macam itu saja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette