Jurgen Klopp (kiri) dan Mikel Arteta bertelagah ketika Liverpool menewaskan Arsenal 4-0 di Anfield pagi tadi. Foto Agensi.

LONDON – Mikel Arteta menjelaskan tidak ada apa-apa berlaku dalam pergaduhannya dengan Jurgen Klopp.

Mereka cuma mempertahankan pasukan masing-masing, katanya.

Ia bermula apabila pengurus Arsenal dan Liverpool itu bertikam bertelingkah di tepi padang pada minit ke-32 selepas berlaku perebutan bola di udara di antara Sadio Mane dan pertahanan Arsenal, Takehiro Tomiyasu.

Klopp dilihat menjerit sambil berkata semua pemain Arsenal mahu mengerumuni Mane selepas penyerang Senegal itu dipersalahkan kerana mengasari Tomiyasu.

Gara-gara itu, Arteta mula  hilang sabar hingga terpaksa dihalang oleh pembantunya ketika mahu memasuki kawasan teknikal Klopp.

Kedua-dua pengurus kemudian dilayangkan kad kuning oleh pengadil, Michael Oliver.

“Tiada apa-apa. Dia (Klopp) mempertahankan pasukannya, saya mempertahankan pasukan saya. Selepas perlawanan, saya mengucapkan tahniah kepadanya,” katanya kepada Sky Sports.

Sementara itu, jaringan Sadio Mane, Diogo Jota, Mohamed Salah dan Takumi Minamino membawa kemenangan 4-0 Liverpool, sekali gus menamatkan rekod 10 perlawanan tanpa kalah Arsenal.

Kemenangan itu melonjakkan Liverpool di tangga kedua Liga Perdana Inggeris dengan 25 mata, empat mata di belakang Chelsea.

Gunners kekal di tangga kelima liga dengan 20 mata. – Agensi