Ole Gunnar Solskjaer. Kredit Foto: Reuters

LONDON – Pengurus, Ole Gunnar Solkskjaer dilaporkan akan meninggalkan Manchester United dalam masa terdekat dan hanya menunggu pengumuman secara rasmi daripad kelab itu, lapor The Guardian.

Laporan media pelbagai sumber di UK mendakwa perbincangan dalam kalangan anggota pasukan tertinggi di Old Trafford mengenai masa depan pengendali dari Norway itu diadakan sebaik kekalahan 4-1 kepada Watford pada malam tadi.

Namun pihak pengurusan tertinggi memutuskan agar kelab mula melakukan rundingan untuk menentukan terma yang boleh dipersetujui kedua-dua pihak memandangka  masih menghormati Solskjaer yang dianggap sebagai legenda kelab.

Spekulasi mengatakan Darren Fletcher akan dilantik sebagai pengendali interim dan dia akan dibantu oleh Michael Carrick.

Kekalahan kepada Watford pada malam tadi adalah yang kelima dari tujuh perlawanan Liga Perdana Inggeris dan menyebabkan United menghuni kedudukan ketujuh dengan 17 mata.

Selepas perlawanan Solksjaer dilihat melambaikan tangan kepada penyokong Red Devils yang hadir di stadium.

Solskjaer pada mulanya dilantik selaku pengendali interim untuk menggantikan Jose Mourinho yang dipecat pada Disember 2018.

Pada Mac 2019, bekas penyerang itu menandatangani kontrak selama tiga tahun untuk menjawat jawatan tersebut sebagai tetap.

Selepas menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris musim 2020-21 di kedudukan kedua, Solskjaer diberikan kontrak baharu selama tiga musim pada Julai lalu.

Tetapi kekalahan kepada Watford pada minggu ini selepas turut tewas kepada seteru seperti Manchester City dan Liverpool akhirnya membuatkan Solskjaer hilang jawatannya.

Musim panas ini menyaksikan Manchester United melabur besar untuk Solskjaer, membawa masuk nama-nama besar seperti Rapahel Varane, Jadon Sancho dan Cristiano Ronaldo.

Di sebalik pelaburan besar tersebut, prestasi  United pada musim ini dianggap merudum dan mereka hanya merekodkan empat kemenangan daripada 13 perlawanan yang dilalui. – Agensi