Petugas Unit Forensik membawa masuk mayat ke dalam kontena kadaverik 'freezer' berikutan peningkatan kes kematian Covid-19 di Hospital Sultanah Aminah, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 06 JUN 2021.

 

KUALA LUMPUR – Sejumlah 24 lagi kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan semalam, kes terendah dalam tempoh hampir enam bulan.

Angka itu menjadikan jumlah kumulatif kematian Covid-19 meningkat kepada 30,002.

Daripada jumlah kes kematian baharu itu, sebanyak enam orang meninggal dunia sebelum mendapat rawatan di hospital.

Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi laman sesawang COVIDNOW berkata, Kelantan mencatatkan lima kematian atau 20.8 peratus daripada kematian – kes tertinggi, diikuti Johor (4).

Kedah dan Perak masing-masing tiga kes; Terengganu, Sabah dan Sarawak masing-masing dua kes.

Manakala Negeri Sembilan, Pahang dan Pulau Pinang masing-masing satu kes.

Menurutnya, tiada kematian dilaporkan di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Perlis dan Labuan.

Laman web tersebut juga menunjukkan sebanyak 22 daripada 24 kematian yang dilaporkan atau 91.7 peratus berlaku dalam tujuh hari lalu.

Kes kematian selebihnya berlaku lebih seminggu lalu tetapi hanya direkodkan semalam kerana kelewatan dalam pelaporan data.

Sepanjang bulan ini, sebanyak 1,187 kematian akibat Covid-19 dilaporkan.

Kes Covid-19 merekodkan 4,854 kes Covid-19 semalam. – MalaysiaGazette