Nik Ezanee Mohd Faisal

KUALA LUMPUR – Enam individu termasuk dua remaja akan didakwa di Mahkamah Majistret Klang esok atas tuduhan membunuh dan bersubahat membunuh seorang ah long di Lorong Batu Nilam 27A, Bandar Bukit Tinggi awal November lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, pendakwaan terhadap kesemua suspek berusia antara 18 hingga 38 tahun dilakukan selepas menerima perintah daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Empat suspek termasuk dua remaja itu akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Manakala dua lagi suspek pula akan didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jika disabitkan kesalahan, kedua-dua seksyen berkenaan berdepan dengan hukuman gantung sampai mati.

Pada 6 November lalu, media melaporkan seorang lelaki dipercayai ah long ditemui mati disyaki ditetak dengan parang oleh dua suspek selepas menikmati makanan bersama dua anak lelakinya di sebuah restoran kopitiam yang terletak di Lorong Batu Nilam 27A, Bandar Bukit Tinggi, Klang.

Dalam kejadian yang berlaku pukul 12.20 tengah hari itu, mangsa berusia 47 tahun itu sempat melarikan diri di celah kenderaan sebelum rebah dan maut.

Rentetan kejadian polis berjaya menahan 16 suspek yang disyaki bersubahat dan melakukan pembunuhan itu.

Justeru siasatan mengesahkan salah faham dan dendam lama sesama ahli Kongsi Gelap Geng 24 merupakan punca mangsa yang juga ahli geng sama telah ditetak suspek.

Polis selain tangkapan suspek termasuk di Muar dan Segamat dan turut merampas barang kes termasuk pakaian dan kereta yang digunakan suspek semasa dan selepas kejadian itu.-MalaysiaGazette