Fazley Yaakob merupakan peserta Gegar Vaganza musim kelapan.
KUALA LUMPUR – Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) yang membuka tirai malam tadi menyaksikan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob mendapat markah terendah berdasarkan persembahan lagu miliknya Asmara Ini.

Bagaimanapun, Fazley atau nama penuhnya Ahmad Fadzli Yaakob tidak disingkirkan di minggu pertama sebaliknya layak ke minggu hadapan bersama 12 bintang yang lain.

Menerusi siaran langsung di saluran YouTube Astro Gempak, penonton tidak melepaskan peluang menyuarakan kritikan masing-masing berhubung persembahan selebriti berusia 43 tahun itu di ruangan komen.

Segelintir penonton mengakui vokal Fazley mempunyai beberapa kesalahan antaranya sumbang, bergetar selain menyifatkan nyanyian itu seperti melontarkan suara di pusat karaoke.

Meninjau komen di laman Twitter pula, rata-rata berpendapat bahawa dia boleh memberikan fokus terhadap karier sebagai tukang masak selepas ini apatah lagi pernah menjuarai Masterchef Selebriti pada tahun 2012.

Sementara itu, semua persembahan artis diadili oleh tiga juri tetap iaitu Datuk Syafinaz Selamat, Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang.

GV8 yang berlangsung dari Pusat Konvensten Antarbangsa Putrajaya (PICC) disiarkan secara langsung di Astro Ria pada setiap hari Ahad pukul 9 malam. – MalaysiaGazette