Dr Akmal Saleh. Foto: Facebook

MELAKA – Setiap calon yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu lalu mula masuk ke pejabat rasmi, hari ini.

Berbeza dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Akmal Saleh, beliau menuju ke kedai kopi yang dijadikan sebagai pejabat utamanya.

“Ini adalah pejabat utama saya iaitu parlimen kedai kopi sebelum ke Pejabat Japerun Merlimau.

“Di sini, segala isu dan permasalahan rakyat akan dibincangkan secara terus,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Tambah Dr Akmal, beliau berbuat demikian kerana memegang prinsip bahawa tugas wakil rakyat adalah mencari rakyat, bukannya dicari rakyat.

“Wakil rakyat jangan hanya tunggu rakyat datang mengadu kepada kita, tetapi kita sepatutnya datang kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, mendekati rakyat di kedai kopi boleh mengurangkan birokrasi selain dapat  memastikan gerak kerja yang lebih cekap.

“Kita kurangkan birokrasi dan tingkatkan kualiti,” katanya.

PRN Melaka ke-15 Dr Akmal yang memperoleh 5,633 undi menewaskan pencabar, Azrin Ab Majid daripada Pakatan Harapan (2,385 undi) dan Abdul Alim Shapie daripada Perikatan Nasional (1,622 undi). – MalaysiaGazette