Kereta mangsa yang ditinggalkan di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah awal pagi tadi.

BAYAN LEPAS – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai bertindak terjun dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) di kilometer 8.5 arah Batu Kawan menghala ke Batu Maung di sini, hari ini.

Mangsa, Chow Yarn Wai, 39, meninggalkan kereta jenis Toyota Prius serta barang peribadinya yang menjadi petunjuk kehilangannya.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian dari Pusat Kawalan Trafik jambatan kedua itu pada jam 4.40 pagi sebelum menggerakkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat).

Katanya, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) sudah ditubuhkan berhampiran jambatan kedua dan gerakan mencari masih diteruskan.

APMM menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

“Pada masa ini, keluasan pencarian adalah sejauh 22.42 batu nautika persegi.

“Operasi berkenaan turut membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Pasukan Polis Marin Batu Uban dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Abd Razak berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan berharap masyarakat tidak mengambil jalan mudah bagi menyelesaikan sesuatu masalah dengan membuat keputusan terburu-buru.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau kecemasan di laut boleh menyalurkan maklumat kepada Maritim Malaysia di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04 262 6146. – MalaysiaGazette