Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak jauh lebihi teratur daripada PRN Melaka yang boleh dikatakan diadakan secara mengejut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, secara dasarnya, Sarawak sudah lama bersedia untuk mengadakan pilihan raya tetapi terbantut akibat pengisytiharan darurat.

Katanya, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak untuk mengetahui persediaan agensi itu.

“Dalam perbincangan itu, mereka menunjukkan sikap jauh lebih bersedia dan Pengerusinya pula mempunyai pengalaman yang sangat luas dari sudut mengendalikan pilihan raya.

“Mereka sudah lama bersedia, sebaik ura-ura nak adakan PRN Sarawak, tetapi kerana berlakunya darurat, maka ia tak boleh diadakan, sebab itulah persediaan di Sarawak ini jauh lebih teratur daripada di Melaka yang diadakan secara mengejut,” katanya menggulung perbahasan bajet bagi Jabatan Perdana Menteri di peringkat jawatankuasa di Parlimen petang ini.

Mengenai SOP PRN Melaka, Wan Junaidi berkata, ia tidak boleh digunapakai di Sarawak berdasarkan bentuk muka bumi kedua-dua negeri.

Katanya, Sarawak mempunyai bentuk muka bumi sebuah pulau yang bersempadan dengan Indonesia, Brunei dan sedikit Sabah manakala Melaka boleh diakses oleh semua negeri di Semenanjung.

Beliau juga berkata, pelaksanaan SOP di Melaka baru-baru ini dibuat secara bersama oleh pelbagai agensi kerajaan dan mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan dan polis.

“Lagi pun, ketika PRN Melaka, negeri itu berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) manakala Sarawak dalam Fasa 3 PPN.

“Bagaimanapun, SPR dalam peringkat merangka SOP untuk di PRN Sarawak,” katanya. – MalaysiaGazette