Teresa Kok

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mencadangkan kerajaan memansuhkan hukuman mati di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB)

Justeru, beliau menyeru Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengkaji pemansuhan hukuman itu.

Beliau turut menyeru Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said selaku Penasihat Hak Asasi Manusia kepada Perdana Menteri memberi nasihat kepada Jemaah Menteri mengenai pemansuhan hukuman mati itu.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pernah membincangkan isu berkenaan pemansuhan hukuman mati di bawah mantan Menteri Undang-undang Datuk VK Liew dan mendiang pernah mengkaji pindaan undang-undang untuk memulangkan hak membuat keputusan kepada hakim, bukan ditetapkan dalam undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan bajet bagi Jabatan Perdana Menteri di peringkat jawatankuasa di Parlimen, hari ini.

Baru-baru ini, seorang warganegara Malaysia, Nagaenthran K Dharmalingam, 21, telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh mahkamah Singapura, iaitu beberapa hari sebelum Deepavali.

Lelaki yang dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) itu dituduh menyeludup 43 gram heroin ke Singapura dan telah dijatuhkan hukuman mati sejak tahun 2010.

Menurut Teresa, isu hukuman mati remaja itu telah mendatangkan rayuan yang kuat daripada keluarga Nagaenthran, Ahli Parlimen dari Malaysia dan negara asing serta NGO tempatan sehingga Menteri Luar Negeri dan Perdana Menteri turut merayu kepada kerajaan Singapura agar menghentikan pelaksanaan hukuman mati ke atas lelaki berkenaan.

Katanya, di bawah seksyen itu, orang yang selalu dihukum adalah mereka yang membawa dadah melebihi jadual Akta Dadah Berbahaya dan pengedar sedemikian dirujuk sebagai “keldai dadah” ataupun drug mules.

“Keldai dadah lazimnya terdiri daripada golongan terpinggir yang mudah terpedaya dengan ganjaran kerana terdesak dengan kesusahan hidup seperti ibu tunggal dan orang yang banyak berhutang ataupun remaja yang tertipu dan sebagainya.

“Contoh paling jelas ialah pada 15 Oktober lalu, seorang ibu tunggal, Hairun Jalwani yang mempunyai sembilan anak dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Tawau kerana memiliki 113.9 gram dadah.

“Kes ini mendatangkan simpati daripada orang ramai. Justeru, cadangan supaya kerajaan memansuhkan hukuman mati wajar dikaji semula,” katanya.

Sementara itu, beliau juga membangkitkan isu peruntukan untuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang dikatakan tidak adil sebagai agensi yang berperanan sama seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut pemimpin DAP itu, beliau pelik kenapa peruntukan untuk Suhakam dimasukkan dalam Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di Jabatan Perdana Menteri.

Sedangkan, SPR, SPRM dan suruhanjaya lain mendapat peruntukan khusus mengikut buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2022. – MalaysiaGazette