KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang membangunkan Sistem Maklumat Bersepadu Halal yang bakal menjadi pangkalan data halal melibatkan kos berjumlah RM3.4 juta.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sistem yang dijangka bermula pada 2023 digunakan untuk menyemak status halal produk daripada luar negara.

“Inisiatif ini akan merangkumi enam sistem iaitu MYeHALAL (Domestik), MYeHALAL (International), Sistem Cetakan Sijil Elektronik (e-Cert Print System), Malaysia International Halal Authority Board (MyIHAB), Modul Permohonan Rumah Sembelihan Luar Negara dan Modul Pengurusan Ramuan Produk Halal Malaysia (MyHALAL Ingredients),” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Halal Kebangsaan (Sidang Halal) 2021 yang diadakan menerusi dalam talian, hari ini.

Tema Persidangan Halal Kebangsaan (Sidang Halal) pada tahun ini bertemakan ‘Halal Malaysia Pemangkin Pertumbuhan Ekonomi’.

Ismail berkata, Jakim juga dalam masa yang sama sedang membangunkan dua inisiatif untuk memperkasakan sijil halal Malaysia di peringkat antarabangsa menerusi Program Pengantarabangsaan Persijilan Halal Malaysia.

Dua inisiatif berkenaan adalah  Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Antarabangsa) dan Modul Eksekutif Halal Antarabangsa.

Ia sebagai langkah untuk memperkasakan sijil halal Malaysia di peringkat antarabangsa menerusi Program Pengantarabangsaan Persijilan Halal Malaysia yang antara lain membolehkan pemain industri dari luar negara memohon persijilan halal Malaysia secara langsung daripada JAKIM.

Tambah beliau, pemain industri dari luar negara juga boleh memohon persijilan halal Malaysia secara langsung daripada Jakim menerusi inisiatif ini.

Terdahulu, Perdana Menteri itu menyeru  semua agensi, kementerian yang berkaitan, dan pemain industri berusaha meningkatkan kebolehpasaran produk halal tempatan ke peringkat antarabangsa.

Ini kerana ekonomi halal global dijangka meningkat kepada RM10 trilion menjelang 2024.

Katanya, Unit Perancang Ekonomi (EPU), JPM sebelum ini melaporkan, segmen pasaran halal dijangka menyumbang kepada 8.1 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ia mampu menjana pendapatan eksport negara sebanyak RM56 bilion pada tahun 2025.

Prestasi ini menunjukkan industri halal berpotensi menjana ekonomi negara kerana populasi penduduk Islam dunia ketika ini berjumlah 1.8 bilion dan jumlah ini akan terus meningkat sehingga 2.2 bilion pada tahun 2030.

Berdasarkan kepada angka ini, Ismail Sabri berkata, permintaan terhadap produk dan perkhidmatan halal mampu melonjak tinggi sehingga boleh mencecah AS$680 bilion setahun.

Perdana Menteri turut memberi jaminan kerajaan akan terus memberi keutamaan memperkasakan usahawan halal Bumiputera melalui program bimbingan dengan melibatkan beberapa kementerian berkaitan.- MalaysiaGazette