GEORGE TOWN – “Harga RM100 itu untuk dua ekor sotong dan sepatutnya pasangan pelanggan tersebut patut suarakan ketidakpuasan hati mereka ketika membuat bayaran daripada tularkan isu itu,” kata Pengarah Restoran Hameediyah Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim.

Muhammad Riyaaz berkata, dia hanya tahu mengenai sotong goreng di restorannya didakwa dijual pada harga tidak munasabah selepas melihat perkara itu tular di media sosial lewat malam semalam.

Jelasnya, dia terkejut resit restoran serta gambar sotong goreng itu ditularkan dengan kapsyen tertentu sedangkan pelanggan tersebut tidak menyatakan sebarang ketidakpuasan hati ketika membelinya pada waktu tengah hari.

Muhammad Riyaaz menunjukkan sotong goreng yang dijual di restorannya.

“Saya sendiri yang mengambil pesanan daripada dua pelanggan itu semalam dan mereka tidak tanya harga hidangan masing-masing malah diam saja ketika membuat pembayaran.

“Mereka tidak patut tularkan isu tersebut kerana pelanggan boleh lihat di paparan skrin ketika membuat pembayaran.

“Sekiranya mereka (pelanggan) tidak puas hati dengan harga itu mereka boleh tukarkan dengan lauk lain, tiada paksaan kepada pelanggan wajib ambil itu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di restorannya di Lebuh Campbell di sini, hari ini.

Sotong goreng restoran nasi kandar Hameediyah dijual pada harga RM10-150 mengikut saiz.

Mengulas lanjut Muhammad Riyaaz berkata, terdapat paparan tanda harga yang jelas diletakkan di restoran berkenaan mengenai harga sotong goreng antara RM10 hingga RM150 mengikut saiz.

“Selain itu, rempah serta bahan yang digunakan untuk menggoreng sotong itu semua merupakan produk asli,” katanya.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette mendapati pelanggan masih ramai beratur untuk menjamu selera di restoran tersebut walaupun isu harga hidangan sotong goreng tidak munasabah tular di media sosial.

Pegawai KPDNHEP Pulau Pinang turut hadir bagi membuat siasatan susulan tular harga sotong goreng tidak munasabah di Restoran Hameediyah.

Turut kelihatan dua penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang turut berada di lokasi bagi melakukan pemantauan dan siasatan berkaitan isu sotong goreng tersebut.

Bagaimanapun, pegawai berkenaan enggan mengulas lanjut berhubung kehadiran mereka.

Terdahulu, tular satu posting di Facebook yang dikongsikan seorang lelaki berhubung pembelian dua bungkus nasi kandar berlaukkan sotong goreng berharga RM100.

Menerusi posting itu, lelaki berkenaan turut mengingatkan orang ramai berhati-hati sekiranya mahu menikmati nasi kandar di Pulau Pinang susulan harganya yang mahal. – MalaysiaGazette

6 Komen

  1. Sebagai pelanggan sekali gus sebagai penguna memang la patut d sebarkan jika harga makanan itu berlebihan sehingga tidak masuk.akal,sotong sampai harga rm100 memang x masuk akal jika tidak d sebarkan takut kena pada pelanggan lain pula tindakan pemantauan perlu di laku kan oleh pihak berwajib agar tiada peniaga yang menaik kan harga sesukahati

  2. Tak salah nak tularkan pasal harga tu. Biar orang lain dapat nilai & tahu jugak. Itu je. Kalau orang kongsi benda positif ok pulak, takkan kena kritik sikit dah sentap.

  3. yg viral tu nk glamor je sedangkan dh terpampang harga kt kuanter kedai….bangang la yg viralkan..ko dh kedarah makanan tu..lepas memekak..

  4. Day jangan penipu la maple, sya pun ank buah nasi kandar penang la. Mna ade mcm tu smpi rm150 jual sotong, kata pula rembah special, sama sje la maple. Jangan la jual mahal2, patut la harga jual. Nnthi kena jawap akhirat tau jgn lupa maple rizwan.

  5. Hah, orang yang dibelanja makan pulak yang kepoh..yg tukang bayar tu ok je.. patutnye dia tu yang kena viral minta maaf..mengapi-apikan benda remeh mcm ni.. budak kecil tau pulak di ajar tanya dulu, ni org dewasa buat mcm ni..org dah bayar makan tu sopan la sikit.. tak periksa asal usul terus buat viral..ni dah over pandai sosial media la ni..

Comments are closed.