Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Selain vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah meluluskan vaksin CoronaVac keluaran Sinovac/Pharmaniaga Lifescience dan vaksin AstraZeneca untuk digunakan sebagai dos penggalak, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Lanjutan daripada itu, pihak Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) di bawah Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Penggalak (CITF-B) telah mengesyorkan dos penggalak diberikan kepada semua penduduk berumur 18 tahun dan ke atas.

Namun, keutamaan janji temu diberikan mengikut turutan umur; petugas barisan hadapan; individu dengan komorbiditi; wanita hamil; dan keperluan ke luar negara.

Pelaksanaan pemberian vaksin dos penggalak bagi penerima dos lengkap jenis vaksin adalah seperti berikut:
a) Vaksin CoronaVac (Sinovac) selepas tiga bulan daripada dos kedua.
• Disyorkan untuk menerima dos penggalak vaksin Comirnaty (Pfizer) bagi semua peringkat umur atau vaksin AstraZeneca bagi individu berumur 50 tahun dan ke atas;
• Bagi individu yang tidak boleh mengambil vaksin Comirnaty (Pfizer) atau vaksin AstraZeneca sebagai dos penggalak, vaksin
CoronaVac (Sinovac) boleh diberikan.
• Bagi individu yang memilih untuk mengambil vaksin CoronaVac(Sinovac) sebagai dos penggalak, mereka boleh maklumkan kepada PPV untuk menerima vaksin tersebut. Walau bagaimanapun, Jawatankuasa Kerja Teknikal masih mengesyorkan untuk menerima vaksin Comirnaty (Pfizer) atau AstraZeneca sebagai dos penggalak.

b) Vaksin AstraZeneca selepas enam bulan daripada dos kedua.
• Disyorkan untuk menerima dos penggalak vaksin AstraZeneca (bagi semua peringkat umur). Walau bagaimanapun, vaksin Comirnaty (Pfizer) juga boleh digunakan.

c) Manakala bagi vaksin lain:
a. Vaksin Comirnaty (Pfizer), Spikevax (Moderna) dan Convidecia (CanSino) selepas enam bulan daripada dos terakhir;
b. Vaksin Covilo (Sinopharm) selepas tiga bulan daripada dos kedua; dan
c. Vaksin Janssen (Johnson & Johnson) selepas dua bulan daripada dos terakhir.

PBKD mengesyorkan semua peringkat umur atau vaksin AstraZeneca bagi individu berumur 50 tahun dan ke atas  untuk menerima dos penggalak vaksin Comirnaty (Pfizer).

Menurut beliau, vaksin dos penggalak diberikan di fasiliti pengamal perubatan swasta atau di luar fasiliti kesihatan swasta.

Dos penggalak juga diberikan di klinik kesihatan dan hospital kerajaan yang terpilih serta aktiviti jangkau luar.

Katanya, tarikh janji temu untuk dos penggalak bagi individu yang layak akan diberikan melalui aplikasi MySejahtera atau penerima boleh mendaftar dalam senarai menunggu untuk mendapatkan tarikh janji temu di fasiliti kesihatan awam dan swasta terpilih.

Senarai fasiliti kesihatan awam dan swasta yang terlibat dengan pemberian dos penggalak boleh didapati di laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu https://covid19.moh.gov.my/vaksin-covid-19 atau di laman sesawang Protect Health iaitu https://protecthealth.com.my/. – MalaysiaGazette