Ketua Polis Daerah Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong menunjukkan barang rampasan mengenai isu perjudian di laman sosial di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 25 NOVEMBER 2021.

KLANG – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan akan memanggil pemilik akaun Facebook Aemierulrizaki Rambli untuk memberikan keterangan selepas didapati menyebarkan tuduhan mengatakan perjudian dan pelacuran  berleluasa di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah berkenaan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, dalang di sebalik akaun Facebook berkenaan telah dikenal pasti dan akan dipanggil dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, pemilik akaun berkenaan turut dialu-alukan untuk berkongsi maklumat secara langsung kelada IPD Klang Selatan berkenaan aktiviti perjudian dan pelacuran.

“Maklumat tidak berasas boleh menyebabkan banyak kesan tidak baik. Kita dalam proses memanggil dia untuk beri keterangan dan siasatan,” katanya ketika sidang media di IPD Klang Selatan hari ini.

Hoong Fong menyifatkan dakwaan Aemierulrizaki Rambli menerusi Facebook pada 24 November lalu telah menjejaskan imej IPD Klang Selatan khususnya dan PDRM secara keseluruhannya.

Jelas beliau, pihaknya sentiasa mengambil tindakan berterusan dalam membanteras aktiviti perjudian dan pelacuran.

Malah katanya, IPD tersebut merupakan antara daerah yang mempunyai tangkapan dan pertuduhan tertinggi bagi kes perjudian dan pelacuran.

Katanya lagi, sebanyak 528 kes tangkapan melibatkan perjudian telah dilakukan sejak Januari sehingga 23 November yang lalu.

“Daripada jumlah tersebut sebanyak 512 kes tangkapan telah dituduh di Mahkamah bersamaan 96.96 peratus manakala bagi aktiviti pelacuran sebanyak 49 kes tangkapan pelacuran berjaya dilakukan dan daripada jumlah tersebut sebanyak 46 kes berjaya dituduh di Mahkamah,” jelasnya.

Tambah beliau, dalam tempoh seminggu sahaja sejak 18 November yang lalu selepas memulakan tugas sebagai Ketua Polis Daerah Klang Selatan, sebanyak 11 serbuan perjudian manakala satu serbuan pelacuran telah dilakukan.

“Pada 24 November 2021 sahaja sebanyak lima kes tangkapan perjudian telah dilakukan. Ini menunjukkan usaha secara berterusan sentiasa diambil oleh Polis Klang Selatan bag memastikan aktiviti perjudian dan pelacuran dapat dibanteras dan tidak berleluasa,” ujarnya. -MalaysiaGazette