Timbalan Ketua Polis Negara melakukan lawatan kerja ke Pahang

MARAN – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) merancang untuk menyewa kediaman dengan pihak luar bagi mengatasi masalah kekurangan kuaters di Lembah Klang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya telah membuat cadangan itu kepada kerajaan bagi mengatasi masalah kediaman yang dialami anggotanya, khususnya dalam kalangan pegawai rendah.

“Cadangan ini sebagai langkah jangka pendek bagi mengatasi masalah kuaters tidak mencukupi terutama di sekitar Lembah Klang.

“Jika mahu membina kuaters akan mengambil masa lama, jadi menyewa rumah dari pihak swasta lebih sesuai buat masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan  lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf dan Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

Sebagai permulaan, tambah beliau, PDRM menyewa sebanyak 220 buah rumah untuk pegawai rendah di Lembah Klang dan jika terdapat keperluan kaedah tersebut diperluaskan ke negeri lain pada masa akan datang.

“Kos menyewa rumah di Kuala Lumpur sangat tinggi dan elaun perumahan yang diterima anggota hanya RM300,” katanya.

Dalam lawatan kerjanya itu, Mazlan turut meninjau projek perumahan pegawai rendah PDRM di IPD Maran yang sebelum ini terbengkalai.

Projek yang membabitkan pembinaan 60 unit kediaman, surau dan kemudahan Persatuan Keluarga Polis (Perkep) dijangka siap pada awal tahun depan. – MalaysiaGazette