Persatuan Nelayan Pulau Pinang bantah pengambilan tanah untuk projek pendaratan tuna di Batu Maung.

BAYAN LEPAS – Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) membantah tindakan pengambilan tanah seluas 2.83 hektar yang diusahakan mereka di Batu Maung di sini untuk projek pendaratan tuna.

Pengerusi Pen Mutiara, Mahadi Md Rodzi berkata, bantahan itu dibuat susulan ada perbincangan sedang berlaku untuk mengambil alih milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) oleh sebuah syarikat swasta.

Jelas beliau, usaha pengambilan tanah itu bermula sejak tahun 2018 dan individu disebalik syarikat itu kini lebih agresif menggunakan kuasa pihak tertentu untuk merealisasikan projek terbabit.

Mahadi.

“Nelayan Pulau Pinang tidak bantah pendaratan tuna tetapi kita bantah pengambilan tanah kompleks LKIM seluas 2.83 hektar untuk projek itu.

“Bantahan ini dibuat susulan projek seakan sama dilaksanakan pada tahun 2006 membabitkan pengambilan tanah 8.9 hektar milik LKIM namun projek itu terbengkalai manakala tanah milik agensi itu pula tergadai.

“Kita tidak mahu kejadian yang sama berulang dan kita juga bersedia berdepan sebarang kemungkinan sekiranya ada pihak cuba menjejaskan kebajikan nelayan di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) Pen Mutiara di sini hari ini.

Tanah seluas 2.83 hektar milik LKIM itu terdiri daripada Restoran Pen Mutiara, pejabat, hotel serta pelabuhan pendaratan ikan pukat tunda.

Mengulas lanjut Mahadi berkata, pihaknya sudah menghantar surat bantah projek tersebut kepada Menteri Pertanian pada 1 November lalu.

“Selain itu, hasil perbincangan di AGM hari ini kita akan bawa suara akar umbi nelayan negeri ini kepada pihak kementerian bagi membuktikan bantahan itu bukan saja daripada pihak pengurusan nelayan,” katanya.

Terdahulu, pihak pengurusan Pen Mutiara bersama perwakilan unit nelayan mengadakan bantahan aman membabitkan beberapa isu termasuk bantah projek tambakan laut di negeri itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast