Rizal Ghazali. Foto Facebook Kedah Darul Aman FC.

KUALA LUMPUR – Seorang lagi pemain Kedah Darul Aman FC dikatakan akan menyarung jersi pasukan Sabah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan selepas ketua pasukan kelab itu, Baddrol Bakhtiar.

Pemain senior iaitu Rizal Ghazali kini dikaitkan bakal mengikut jejak langkah sama dengan meninggalkan kelab dari utara tanah air itu.

Spekulasi mengenai masa hadapan Baddrol bersama Kedah timbul setelah pasukan itu tersingkir daripada saingan Piala Malaysia apabila tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada peringkat suku akhir.

Perpindahan Baddrol dan Rizal semakin menghampiri kenyataan apabila ramai pihak khususnya peminat Kedah mula memuat naik ucapan penghargaan dan terima kasib kepada kedua-dua pemain di laman media sosial.

Tidak ketinggalan bekas ketua jurulatih yang pernah menghadiahkan Double Treble kepada Kedah, Azraai Khor Abdullah turut mengucapkan selamat maju jaya kepada bekas anak buahnya itu.

Di bawah kendalian bekas Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, Sabah FC dilaporkan bakal membuat perubahan besar dan salah satu langkah ialah membawa masuk pemain yang pernah memenangi pingat emas Sukan SEA 2011 di Indonesia.

Antara pemain yang dikaitkan dengan perpindahan ke Sabah ialah bekas ketua pasukan Harimau Muda A iaitu, Irfan Fazail selain penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat yang mana kedua-dua pemain ini merupakan sebahagian daripada skuad Sukan SEA 2011.

Irfan dikhabarkan sudah berada di Kota Kinabalu bagi melengkapkan perpindahan setelah beraksi bersama JDT II dalam saingan Liga Premier.

Sekiranya Sabah berjaya mendapatkan khidmat Baddrol dan beberapa pemain lain, maka kelab dari Borneo itu bakal menjadi antara pasukan pencabar dalam saingan Liga Super musim hadapan.

Pada masa sama, Sabah turut memberikan kontrak lanjutan kepada pemain sayap dari Indonesia, Saddil Ramdani setelah pemain itu menampilkan prestasi yang baik musim ini. – MalaysiaGazette