Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob berucap pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Nafas ke-47 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 25 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR –  Melestarikan penglibatan dalam Industri Padi Beras (IPB) merupakan Pelan Hala Tuju Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bagi tempoh lima tahun bermula 2021 hingga 2025

Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob berkata, enam langkah telah diwujudkan untuk melaksanakan pelan berkenaan dengan sasaran penglibatan pertubuhan berkenaan secara menyeluruh dan komprehensif dalam industri padi.

“Melalui semua langkah ini, NAFAS mempunyai matlamat untuk menjadi salah satu pengeluar benih padi yang kompetitif,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan NAFAS ke-47 Tahun 2020 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini malam tadi.

Tambah Zamri, NAFAS dalam masa yang sama sedang meneliti peluang untuk memiliki sebuah loji benih padi selain daripada bekerjasama dengan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk pengeluaran ladang benih.

Selain itu tambah Zamri, Pelan Hala Tuju lima tahun NAFAS turut menetapkan pelaksanaan untuk Penerokaan Tanaman Sumber Kekayaan Baru yang boleh menjana pendapatan lain.

“Tanaman itu adalah seperti kelapa, nanas, durian dan rock melon,” katanya lagi.

Dalam majlis yang sama, NAFAS turut memeterai Memorandum Persefahaman dengan tiga syarikat iaitu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM); syarikat berstatus State Own Enterprise (SOE) dari negara China dan Southeast Edible Bird’s Nest Capital Biotechnology Co. Ltd.- MalaysiaGazette